Boris Johnson umum letak jawatan

Agensi
Julai 7, 2022 21:21 MYT
Dalam ucapannya di 10 Downing Street, Johnson bagaimanapun memaklumkan akan kekal sebagai pemimpin sebelum Perdana Menteri baharu dilantik. - Foto AP
LONDON: Perdana Menteri United Kingdom (UK) Boris Johnson sah meletak jawatan sebagai pemimpin Parti Konservatif selepas kehilangan sokongan anggota Kabinet dan barisan menteri
Dalam ucapannya di 10 Downing Street, beliau bagaimanapun memaklumkan akan kekal sebagai pemimpin sebelum Perdana Menteri baharu dilantik.
Beliau turut mengesahkan, anggota Kabinet baharu telah dilantik, susulan peletakan jawatan lima anggota Kabinet sebelum ini.
“Sistem Darwinian akan menghasilkan seorang lagi pemimpin yang turut komited untuk membawa negara ini ke hadapan menelusuri detik-detik mencabar, bukan sahaja membantu keluarga-keluarga mendepaninya, malah juga mengubah dan menambah baik cara kita melakukannya.
“…sambil mengurangkan beban ke atas perniagaan dan keluarga-keluarga serta mengurangkan cukai kerana ini cara untuk menjana pertumbuhan dan pendapatan yang diperlukan untuk membayar perkhidmatan awam.
“Kepada pemimpin baharu, sesiapa sahaja individu itu, saya akan memberi sokongan yang sebanyak mungkin,” katanya.
Jelasnya, Parti Konservatif sudah memutuskan agar seorang pemimpin parti baharu dilantik, sekali gus menjadi Perdana Menteri baharu.
Tambah Johnson, beliau berasa sedih kerana terpaksa melepaskan pekerjaan terbaik di dunia.
Terdahulu, sekumpulan anggota Kabinet dan barisan menteri meletak jawatan sebagai bantahan terhadap Johnson.
Siri perletakan jawatan itu dimulakan oleh bekas canselor Rishi Sunak dan bekas Menteri Kesihatan Sajid Javid.
Bantahan itu tercetus selepas Johnson dilanda kontroversi kerana menghadiri majlis keramaian di kediaman rasmi Perdana Menteri, 10 Downing Street ketika perintah kawalan COVID-19 berkuat kuasa.
#Boris Johnson #Perdana Menteri UK #United Kingdom #letak jawatan #Parti Konservatif #10 Downing Street
;