Boris Johnson optimis kurangkan sekatan selepas pelaksanaan pelan baharu

Astro Awani
Februari 13, 2021 05:02 MYT
Johnson optimis akan dapat mengurangkan sekatan perintah berkurung di England apabila pelan rancangan baharu dilaksanakan bulan ini. -Gambar fail
LONDON: Perdana Menteri Britain, Boris Johnson optimis akan dapat mengurangkan sekatan perintah berkurung di England apabila pelan baharu dilaksanakan bulan ini.
Ketika ini, UK berada di bawah perintah berkurung yang masih ketat bagi memutuskan jangkitan virus, dengan penutupan premis perniagaan tidak perlu seperti kedai-kedai tertentu, gimnasium, dan salon.
Malah, kebanyakan penduduk diarahkan bekerja dari rumah.
Johnson dijangka mengumumkan pelan rancangan berkenaan pada 22 Februari ini dengan keutamaan diberi kepada pembukaan sekolah.
Beliau juga berharap kesemua pelajar akan mula memasuki sesi persekolahan pada 8 Mac depan.
Apabila keadaan semakin pulih, sektor ekonomi yang diarahkan tutup akan dibuka semula secara beransur-ansur dan bergantung kepada keberkesanan vaksin.
Johnson sebelum itu melawat BioCampus Fujifilm Diosynth di Billingham, yang menempatkan lebih 60 juta dos Vaksin Novavax yang akan diedarkan selepas mendapat kelulusan Agensi Perundangan Perubatan dan Penjagaan Kesihatan (MHRA).
Vaksin itu telah melalui ujian percubaan klinikal di UK pada bulan lalu.
Ia menunjukkan 89.3 peratus tahap keberkesanan dalam mencegah virus koronavirus termasuk varian baharu COVID-19 di UK.
#Britain #Boris Johnson #perintah berkurung #COVID-19 #koronavirus #vaksin #varian baharu #pelan baharu
;