Boris Johnson letak jawatan: Pelantikan PM UK baharu perlu dibuat - Pakar

Fareez Azman
Julai 8, 2022 20:04 MYT
Johnson akan terus menjadi Perdana Menteri 'Caretaker' sehingga pemilihan baharu tersebut dibuat. - Gambar fail/AP
KUALA LUMPUR: Peletakan jawatan Perdana Menteri United Kingdom (UK) Boris Johnson tidak berlaku serta-merta kerana pemilihan perlu diadakan bagi melantik Perdana Menteri yang baharu.
Demikian jelas Felo Utama Institut Pengajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Prof Dr Sufian Jusoh.
Sebaliknya ujar Prof Sufian, Johnson akan terus menjadi Perdana Menteri 'Caretaker' sehingga pemilihan baharu tersebut dibuat.
"Peletakan jawatan Perdana Menteri United Kingdom bukan berlaku serta-merta.
"Mengikut peraturan Parti Konservatif, satu pelantikan perlu dibuat ketua parti baru untuk mengambil jawatan Perdana Menteri, ia ditentukan 1922 Committee iaitu backbenchers Parti Konservatif akan menentukan prosedur pemilihan," jelasnya.
Tambah beliau, pemilihan itu dijangka diadakan sekitar September dan Oktober depan ketika musim luruh.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak proses terbabit boleh dipercepatkan sekiranya terdapat permintaan dari parti konservatif itu sendiri.
"Jadi buat masa ini prosedur pemilihan akan berlaku musim luruh bulan September dan Oktober depan.
"Kemungkinan besar terdapat beberapa tindakan 1922 Committee mempercepatkan pemilihan ketua Parti Konservatif baru menggantikan Boris Johnson," jelasnya lagi.
BACA: Boris Johnson umum letak jawatan
Johnson sah meletak jawatan sebagai pemimpin Parti Konservatif selepas kehilangan sokongan anggota Kabinet dan barisan menteri.
Dalam ucapannya di 10 Downing Street pada Khamis, beliau bagaimanapun memaklumkan akan kekal sebagai pemimpin sebelum Perdana Menteri baharu dilantik.
Beliau turut mengesahkan, anggota Kabinet baharu telah dilantik, susulan peletakan jawatan lima anggota Kabinet sebelum ini.
#Boris Johnson #Perdana Menteri #United Kingdom #pelantikan baharu #IKMAS #Prof Dr Sufian Jusoh
;