Boris Johnson bakal Perdana Menteri UK
Astro Awani
Julai 23, 2019 19:41 MYT
Julai 23, 2019 19:41 MYT
Bekas Datuk Bandar London, Boris Johnson dipilih menjadi ketua Parti Konservatif yang baharu dalam satu proses pengundian yang dijalankan oleh parti itu dengan 92,153 undi.
Kejayaan menewaskan pesaingnya Setiausaha Luar Jeremy Hunt yang hanya mampu mendapat 46,656 undi mencerahkan lagi peluang Johnson untuk diangkat menjadi perdana menteri negara itu Rabu ini.
Agensi berita antarabangsa AFP melaporkan, Perdana Menteri United Kingdom Theresa May sudah pun menghantar surat perletakan jawatan kepada Ratu Elizabeth II.
Sewaktu menyampaikan ucapan kemenangannya di Pusat Ratu Elizabeth II di London, Johnson berkata, “Kami akan kembali memberdayakan negara ini,” di samping berjanji akan menyelesaikan isu berkaitan Brexit sebelum 31 Oktober ini.
“Kita semua sekali lagi akan mempertaruhkan kepercayaan kepada diri sendiri, dan seperti gergasi yang sedang tidur, kita akan bangkit dan melepaskan diri daripada kesangsian, daripada diri sendiri, serta persepsi negatif.
“Ini dapat dilakukan dengan menyediakan peluang pendidikan, infrastruktur yang lebih baik, lebih ramai anggota polis, jalur lebar di setiap rumah.
"Kita akan menyatukan negara yang hebat ini dan kita akan terus maju ke hadapan,” katanya lagi.