Bonus 8 bulan bakal diterima kakitangan Singapore Airlines

Agensi
Mei 16, 2024 04:15 MYT
Kakitangan Singapore Airlines akan menerima ganjaran bonus bersamaan sekitar lapan bulan gaji, berikutan prestasi kewangannya yang cemerlang. - Gambar fail
SINGAPURA: Kakitangan Singapore Airlines akan menerima ganjaran bonus bersamaan sekitar lapan bulan gaji, berikutan prestasi kewangannya yang cemerlang.
Memetik laporan portal berita antarabangsa, bonus yang berjumlah 32 minggu daripada insentif perkongsian keuntungan, mencerminkan pengiktirafan syarikat penerbangan itu terhadap dedikasi dan kerja keras pekerjanya yang tidak berbelah bahagi.
"Bonus ini, yang bersamaan dengan 7.94 bulan gaji pokok, bukan semata-mata aksi spontan tanda kesyukuran, tetapi sesuatu yang telah dinyatakan dalam perjanjian yang telah lama terjalin dengan kesatuan syarikat penerbangan itu, mewujudkan hubungan harmoni antara syarikat dan tenaga kerjanya," kata laporan itu.
Syarikat penerbangan itu meraih keuntungan bersih sebanyak 2.67 bilion dolar Singapura (RM9.29 bilion) bagi tahun kewangan 2023-2024 (FY23/24), mewakili peningkatan 24 peratus berbanding tahun sebelumnya.
"Kumpulan itu melaporkan jumlah pendapatan sebanyak 19.013 bilion dolar Singapura (RM66.18 bilion), menandakan peningkatan 7.0 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pendapatan penerbangan penumpang meningkat dengan ketara sebanyak 17.3 peratus, mencecah 15.69 bilion dolar Singapura (RM54.62 bilion), didorong oleh pemulihan di Asia Utara dan pertumbuhan trafik penumpang yang teguh," lapor portal berita akhbar itu.
Akibatnya, keuntungan operasi Singapore Airlines mencapai rekod 2.73 bilion dolar Singapura (RM9.5 bilion), meningkat 1.3 peratus daripada tahun sebelumnya.
Permintaan untuk perjalanan udara kekal kukuh sepanjang TK23/24, dengan Singapore Airlines dan Scoot bersama-sama mengalami peningkatan penumpang sebanyak 37.6 peratus tahun ke tahun.
Trafik penumpang meningkat sebanyak 26.6 peratus, mengatasi pertumbuhan kapasiti dan menghasilkan faktor muatan penumpang rekod sebanyak 88.0 peratus. Syarikat Singapore Airlines dan Scoot mencapai faktor muatan masing-masing sebanyak 87.1 peratus dan 91.2 peratus.
"Lembaga pengarah mencadangkan dividen akhir sebanyak 38 sen sesaham untuk TK23/24, menghasilkan jumlah pembayaran sebanyak 48 sen sesaham.
"Melihat ke hadapan, kumpulan itu menjangkakan permintaan sihat berterusan untuk perjalanan udara, walaupun dengan potensi cabaran seperti persaingan yang semakin meningkat dan tekanan menurun ke atas hasil penumpang," ujar laporan berkenaan. - Agensi
#Singapore Airlines #bonus lapan bulan #keuntungan Singapore Airlines #syarikat penerbangan Singapore Airlines
;