Bongkah ais sebesar Greater London pecah
Astro Awani
Januari 24, 2023 09:15 MYT
Januari 24, 2023 09:15 MYT
ANTARTIKA: Bongkah ais sebesar Greater London dilaporkan pecah dan terpisah dari bongkah asal di Antartika.
Penemuan terbaharu itu dilaporkan pada lewat Ahad lalu berdasarkan pemerhatian menggunakan pelbagai instrumen oleh British Antarctic Survey (BAS).
Bagaimanapun, menurut ahli geologi, ia dilaporkan tiada kaitan dengan pemanasan global dan tidak akan menyebabkan paras air luat meningkat.
Ketika ini saiz sebenar masih belum diperincikan namun dianggarkan bongkah yang pecah itu sebesar 1,550 kilometer persegi, menghampiri saiz Greater London.
Bongkah tersebut pecah dari rak bongkah ais Brunt pada ketebalan 150 meter.
Menerusi video yang dirakamkan pada 2019 ini, rekahan tersebut dinamakan sebagai Chasm 1 yang telah terbentuk sejak beberapa tahun lalu berikutan rekahan yang begitu ketara.
Menurut pakar geologi BAS, Profesor Dominic Hodgson, rekahan terbaharu itu berada di pinggir lembaran ais Antartika yang keluar dari darat dan kemudian menghala ke laut.
Ini merupakan pecahan terbesar kedua di kawasan tersebut dalam tempoh dua tahun.
"Ia merupakan kejadian semula jadi. Ia tiada kaitan dengan perubahan iklim.
"Beberapa bongkah ais yang terpecah di lebih banyak lokasi di utara adalah hasil daripada perubahan iklim. Tetapi yang ini lebih jauh ke selatan," katanya.
Difahamkan bongkah ais yang pecah itu akan diberi nama selewat-lewatnya pada Selasa oleh Pusat Bongkah Ais Nasional Amerika Syarikat.