Bomoh ditahan pos mayat bayi kepada pelancong China
Sinar Harian
Februari 9, 2025 08:40 MYT
Februari 9, 2025 08:40 MYT
Polis memeriksa kotak mengandungi dua mayat untuk dipos ke Chiang Mai. - Foto Sinar Harian/Agensi
BANGKOK: Seorang bomoh Siam ditahan polis selepas mengupah seorang lelaki untuk membuat penghantaran dua mayat bayi menggunakan perkhidmatan pos dari Bangkok ke Chiang Mai, lapor portal berita Must Share News.
Aktivitinya terbongkar selepas pekerja di syarikat pos mendapati mereka menerima bungkusan mencurigakan dari lelaki sebelum menelefon polis untuk tindakan selanjutnya.
Polis yang bergegas ke lokasi kejadian untuk memeriksa bungkusan terbabit telah menemui dua mayat bayi yang sudah dikeringkan dan berwarna hitam yang dibungkus dalam kotak.
Hasil siasatan lanjut, polis mendapati penghantar bungkusan itu bernama Chai yang berusia 47 tahun.
Chai mendakwa dia diupah seorang lelaki bernama Pol untuk membawa kotak itu ke kedai dan mengeposnya ke satu alamat di Chiang Mai.
Pol yang ditahan polis memberitahu dia merupakan seorang bomoh sihir dan mengaku boleh bercakap dengan roh orang mati.
Dia menjelaskan kepada polis bahawa empat pelancong China yang melawat kedainya pada hujung Disember lalu, menawarkan untuk membeli mayat bayi itu dengan harga 30,000 baht (RM3,929).
Mereka kemudian meminta Pol menghantar mayat ke alamat di Chiang Mai.
Pol pada asalnya membeli mayat bayi itu dengan harga 10,000 baht (RM1,309) dari Samut Prakan, sebuah bandar di Selatan Tengah Thailand.
Buat sementara ini, polis Thailand sedang mempertimbangkan pertuduhan yang akan dikenakan terhadap Pol yang didapati menjual mayat bayi tersebut. - Sinar Harian memetik agensi