Bomba berjaya kawal kebakaran hutan di California, lebuh raya dibuka semula
Astro Awani
September 12, 2021 06:42 MYT
September 12, 2021 06:42 MYT
CALIFORNIA: Beberapa kejadian kebakaran hutan tercetus dan ada yang masih berlanjutan di California, Amerika Syarikat dan di Malaga, Sepanyol.
Di selatan California, kesemua laluan lebuh raya Interstate 5 dibuka semula susulan kejayaan pasukan bomba meredakan kebakaran hutan.
Kebakaran yang tercetus pada Ahad di kawasan bukit berdekatan utara Los Angeles menular sehingga 450 ekar.
Ia turut menyebabkan kebanyakan laluan lebuh raya terpaksa ditutup, malah dua anggota bomba dilaporkan mengalami kecederaan.
Bagaimanapun, kebakaran tersebut dilaporkan berjaya dikawal dengan bantuan tumpahan air daripada helikopter dan usaha pemadaman di tempat kejadian.
Sementara itu di wilayah Malaga, Sepanyol, pihak berkuasa terpaksa memindahkan hampir 1,500 penduduk tempatan di bandar Jubrique dan empat perkampungan lain.
Ini merupakan hari keempat pasukan bomba bertungkus lumus meredakan kebakaran hutan yang berlaku.
Pasukan tentara turut digerakkan bagi membantu memadam kebakaran.
Kebakaran yang tercetus menghancurkan hampir 7,000 hektar tanah.
Setakat ini lebih 1,000 penduduk sudah dipindahkan sejak hujung minggu lalu.