Bom tangan jadi mainan, dua kanak-kanak maut
Agensi
Februari 16, 2019 19:51 MYT
Februari 16, 2019 19:51 MYT
DUA kanak-kanak lelaki maut manakala seorang parah selepas sebutir bom tangan lama yang masih aktif ditemui di Bogor, Barat Jawa, Indonesia pada Khamis.
Muhammad Mubarok, 10 tahun, meninggal dunia serta-merta manakala rakannya, Muhammad Doni, 14, meninggal dunia semasa dirawat di Hospital Leuwiliang pada hari sama.
Seorang lagi mangsa yang cedera parah dikenali sebagai Khoirul Islami, 10, masih lagi menerima rawatan di hospital.
Terdahulu, ketiga-tiga kanak-kanak itu menemui bom tangan lama berkenaan berhampiran lapang sasar di tempat mereka bermain tanpa mengetahui bahan letupan itu masih aktif.
Mangsa bertindak membawa balik bom tangan berkenaan sebelum dipercayai mengetuk bahan letupan tersebut sehingga meletup.
Dalam pada itu, Pemangku Angkatan Tentera Bogor, Komander Lt. Kol. Harry Eko Sutrisno berkata, ketiga-tiga mangsa menemui bom tangan itu yang sudah berkarat semasa bermain di atas bukit berhampiran tapak latihan tentera di Gunung Kapur.
"Mereka dikatakan membawa bom tangan itu balik ke rumah sebelum ia meletup sekitar pukul 2 petang.
"Lokasi itu yang terletak sekitar dua kilometer dari kawasan perumahan berhampiran merupakan kawasan larangan.
"Bom tangan itu tertanam di dalam tanah. Mangsa tidak tahu bahawa ia masih aktif dan menjadikan bom itu sebagai alat permainan," katanya kepada Kompas.com.