Sebutir bom tangan dilemparkan ke sebuah hostel penempatan pelarian di barat daya Jerman, kata pihak berkuasa.

Portal berita BBC melaporkan, kejadian mengejutkan itu berlaku di hostel yang menampung seramai 170 orang pelarian di Villingen-Schwenningen, namun ia tidak meledak biarpun pin keselamatannya sudah dicabut.

Sebahagian daripada pelarian di situ dipindah keluar sewaktu pakar-pakar pemusnah bom menjalankan prosedur meledakkan bom tangan itu dalam keadaan terkawal.

Menteri Kehakiman Heiko Mass yang mengulas kejadian itu berkata, ia merupakan tindakan kebencian dan keganasan yang semakin meruncing.

“Bom tangan kini sudah dilemparkan ke pusat penempatan pelarian. Kita tidak boleh menunggu sampai ada orang terkorban,” ujar Mass.

Insiden terbaru yang dilakukan penyerang yang belum dikenal pasti itu meningkatkan statistik serangan terhadap golongan pelarian di Jerman.

Pada tahun lalu, direkodkan sebanyak 1,005 serangan dilakukan ke atas golongan pelarian, sekali gus mencatatkan peningkatan lima kali ganda berbanding tahun 2014 iaitu 199 kes.

Jurucakap polis Thomas Kalmbach pula berkata para pelarian di situ sungguh ‘bertuah’ kerana tiada siapa yang cedera.

Pada tahun lalu, sejumlah 1.1 juta pelarian telah memohon perlindungan suaka di Jerman dengan kebanyakan daripada mereka dari negara Syria.

Pihak berkuasa juga mengakui bahawa mereka menghadapi masalah untuk menyediakan kesemua pelarian itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Jerman kini cuba menangani kebanjiran pelarian itu dengan menyenaraikan negara-negara yang selamat buat para pelarian.

Ini termasuk menjalin kerjasama dengan Maghribi, Algeria dan Tunisia bagi memudahkan penghantaran pulang para pelarian tersebut.