Bom: Pegawai keselamatan Thailand cari anggota kumpulan penentang kerajaan

Bernama
Ogos 18, 2015 22:16 MYT
Gambar dari CCTV yang memaparkan antara lelaki yang dicari pihak berkuasa Thailand bagi membantu siasatan berhubung pengeboman. - Foto AFP
BANGKOK: Pegawai-pegawai keselamatan Thailand sedang mencari seorang lelaki dipercayai anggota kumpulan antikerajaan bagi membantu siasatan berhubung kejadian letupan bom di sini malam tadi, kata Perdana Menteri Jen Prayuth Chan-ocha.
Setakat ini, kejadian itu mengakibatkan 20 orang terbunuh dan 108 cedera.
"Saya telah mengarahkan para pegawai keselamatan menahannya untuk disiasat. Kami masih mencarinya. Saya rasa dia tinggal di wilayah timur laut.
"Dia anggota sebuah kumpulan antikerajaan. Kami sedang cuba menjejaki lelaki ini, yang menyiarkan satu mesej di media sosial," katanya pada sidang media sebelum mesyuarat mingguan Kabinet di sini, hari ini.
Jen Prayuth berkata lelaki berkenaan dipercayai mempunyai maklumat tentang perkara yang berlaku sebelum letupan bom itu.
"Kami juga mempunyai rakaman CCTV (kamera litar tertutup) yang menunjukkan beberapa orang yang boleh dianggap sebagai suspek, tetapi perkara ini belum jelas. Oleh itu, kami perlu menyiasat dan mencari orang itu dahulu," katanya.
BACA: 4 sekeluarga terkorban, 3 cedera dalam letupan di Bangkok - Duta Malaysia
VIDEO: #Bangkokblast video detik cemas sebelum letupan
FOTO: Letupan bom gegar Bangkok
Ditanya sama ada letupan bom itu mungkin mempunyai kaitan dengan politik atau hal ehwal antarabangsa, Jen Prayuth berkata: "Mungkin satu atau kedua-duanya sekali. Kami tidak menolak sebarang kemungkinan.
Kami juga masih dilanda konflik politik. Jadi, siapakah yang anda rasa berada di belakang kejadian ini? Beritahu saya."
Jen Prayuth turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terbunuh dan cedera dalam kejadian itu.
"Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa kami akan mencari orang yang melakukannya dengan secepat mungkin. Kami akan memastikan jaminan keselamatan semua warga asing yang tinggal di Thailand dan di semua kedutaan. Tolong jangan panik kerana ia akan menjejaskan pelancongan.
"Tolong jangan buat kesimpulan tentang motifnya kerana kami masih menjalankan siasatan. Saya belum membuat kesimpulan siapa yang melakukannya, tetapi saya tahu mereka adalah orang jahat yang tidak menghormati nyawa orang yang tidak berdosa.
"Kami perlu melihat rakaman CCTV dan kami meminta mereka yang merakamkan gambar atau video kejadian itu supaya memberi maklumat kepada polis," katanya.
#Bangkok #bom #Prayuth Chan-ocha
;