Bom meletup di kedutaan AS, suspek diberkas

Reuters
Julai 26, 2018 00:25 MYT
Anggota polis dilihat mengumpul bahan bukti di luar perkarangan kedutaan Amerika Syarikat pada 26 Julai 2018. - Foto Reuters/Jason Lee
Sebutir bom diledakkan di perkarangan kedutaan Amerika Syarikat di Beijing pada Khamis, yang turut mencederakan suspek yang melakukan tindakan secara bersendirian, menurut kenyataan kedutaan tersebut.
Namun pihak polis Beijing menyifatkan bom tersebut hanya sebagai bahan bunga api.
Suspek yang berusia 26 tahun itu berjaya ditahan dan hanya dikenali sebagai Jiang.
Dia turut mengalami kecederaan di tangan dan telah dikejarkan ke hospital berdekatan.
Pihak polis tidak menyatakan motif disebalik kejadian tersebut namun memberitahu suspek mempunyai sejarah sakit mental dan pernah dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan.
Kenyataan polis, yang dimuat naik di laman rasmi akaun media sosial Weibo, turut menyatakan suspek mendengar suara halus untuk lakukan serangan tersebut.
Beberapa saksi memberitau agensi berita Reuters, satu letupan kuat didengar di kawasan kedutaan tersebut dan gegaran turut dirasai.
"Saya sedang beratur di kawasan kedutaan apabila saya terdengar satu letupan kuat kira-kira 100 meter dari tempat saya berdiri," kata seorang pelajar berusia 19 tahun yang hanya ingin dikenali sebagai Li.
Tambahnya letupan tersebut berlaku kira-kira jam 1 tengah hari.
Sebuah kereta polis turut mengalami kerosakan dalam kejadian tersebut.
Operasi di kedutaan Amerika Syarikat di Beijing kembali seperti biasa tidak lama kemudian.
Seorang lagi saksi, Li Shaohui berkata, dia terasa gegaran ketika letupan itu berlaku dan beberapa orang di kawasan tersebut menjerit.
"Pada mulanya saya ingat berlakunya kemalangan," kata Li kepada Reuters.
Tiada kerosakan dilaporkan pada bangunan kedutaan Amerika Syarikat tersebut.
#bom #bunga api #Jiang #Kedutaan Amerika Syarikat #meletup #Sakit Mental
;