Bom masjid: Polis Pakistan tahan beberapa suspek
Agensi
Februari 1, 2023 23:54 MYT
Februari 1, 2023 23:54 MYT
PESHAWAR: Beberapa suspek dipercayai mempunyai kaitan dengan kes letupan pengebom bunuh diri di sebuah masjid di Peshawar, Pakistan ditahan semalam.
Menurut Reuters, tragedi itu disifatkan sebagai kes serangan bom paling dahsyat apabila banyak nyawa terkorban iaitu lebih 100 kematian.
Polis kini sedang menyiasat kemungkinan pengebom itu mempunyai bantuan orang dalam bagi mengelak pemeriksaan keselamatan.
Pengeboman berlaku pada Isnin lalu ketika ratusan jemaah berkumpul untuk solat zohor di sebuah masjid yang dibina untuk anggota polis dan keluarga mereka yang tinggal di kawasan bertembok tinggi.
Ketua Polis Peshawar, Ijaz Khan memberitahu pihaknya sudah menemui beberapa petunjuk yang sangat baik dan berdasarkan petunjuk, beberapa tangkapan besar telah dibuat.
"Kami tidak boleh menolak dakwaan ada bantuan dalaman tetapi memandangkan siasatan masih dijalankan, saya tidak akan berkongsi butiran lanjut," katanya.
Menteri Pertahanan, Khawaja Asif berkata pengeboman itu berlaku di saf pertama.
Sementara itu, Ketua Polis wilayah Moazzam, Jah Ansari, maklumkan mayat penyerang sudah ditemui dan percaya penyerang bukan daripada mana-mana kumpulan tertentu.
Kumpulan militan paling aktif di kawasan itu, Taliban Pakistan yang juga dipanggil Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP), menafikan pihaknya bertanggungjawab atas serangan itu, yang mana setakat ini tiada kumpulan mengaku melakukannya.
Letupan itu merobohkan tingkat atas masjid dan adalah serangan meragut paling banyak nyawa di Peshawar selepas kes pengembom bunuh diri di Gereja All Saints pada September 2013.