Bom Hidrogen: Lagu Kpop 'Bang, Bang, Bang', mesej balas Korea Selatan buat Kim
Astro Awani
Januari 8, 2016 15:07 MYT
Januari 8, 2016 15:07 MYT
Lagu Kpop yang popular baru-baru ini, "Bang, Bang, Bang" dan lagu balada syahdu mengenai "malaikat maut" adalah antara senarai lagu yang dimainkan Korea Selatan untuk memulakan siaran propagandanya kepada Korea Utara pada Jumaat.
Ketika pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un meraikan sambutan ulang tahunnya, beberapa pembesar suara gergasi memainkan beberapa lagu di sempadan negara berkenaan, disertai dengan mesej-mesej yang berbaur kritikan terhadap rejim Kim serta propaganda mengenai kelebihan demokrasi.
Siaran propaganda berkenaan, yang sebelum ini pernah menimbulkan kemarahan Pyongyang, adalah sebagai respon kepada ujian nuklear Korea Utara pada Rabu yang lalu.
"Kami telah memilih pelbagai jenis lagu hits terbaru untuk menjadikan (propaganda) dengan lebih baik," kata seorang pegawai Kementerian Pertahanan dalam satu taklimat kepada wartawan tempatan pada hari Jumaat.
Lagu-lagu dan lirik berkenaan meliputi genre muzik elektronik nyanyian kumpulan Big Bang dan GFriend.
Lagu hit Big Bang yang penuh bertenaga, "Bang, Bang, Bang" mempunyai lirik korus seperti "Anda seperti telah ditembak", dan alunan muzik lagu GFriend yang mempunyai lirik seperi " Kita berdua sangat malu/tetapi saya mahu pergi lebih dekat dengan kamu" antara lagu yang dimainkan melalui pembesar suara itu.
Kementerian Pertahanan Korea berkenaan bagaimanapun tidak memberi sebarang indikator atau petunjuk, yang menunjukkan lagu-lagu yang dimainkan tersebut mempunyai mesej yang ingin dihantar kepada Korea Utara.
Propaganda berkenaan mula diperhebahkan Tentera Korea Selatan menerusi pembesar suara sejak 12 petang (waktu tempatan) pada Jumaat.
Ia meliputi 11 lokasi dan turut menyebabkan penduduk resah.
"Kami tidak boleh mebuat apa-apa sekiranya, ia berterusan. Kami akan berpindah ke kawasan lain," kata salah seorang penduduk, Hwang Pyung-ahn.
Setakat ini, tiada tindak balas daripada Korea Utara yang hanya menganggap ia sebagai satu taktif perang saraf.