Bom Bangkok: Thailand tetap yakin trend pelancongan tidak berubah

Agensi
Ogos 19, 2015 11:44 MYT
Insiden bom di Bangkok meninggalkan bukan sahaja kesan trauma pada penduduknya, malah ekonomi pelancongannya turut dikhuatiri terjejas. - Foto AP/Sackchai Lalit
Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand terus mengekalkan sasaran pelancongannya tahun ini walaupun berdepan dengan kemungkinan prestasi yang merudum dari segi kemasukan pelancong asing berikutan kes letupan bom di Ratchaprasong, Bangkok.
Pengusaha pelancongan tempatan yakin bahawa industri akan kembali pulih daripada trauma tersebut sebelum bermulanya musim puncak pada Oktober, lapor portal berita Bangkok Post.
"Masih terlalu awal untuk menjangkakan kesan buruk ke atas bidang pelancongan akibat kes bom tersebut, namun kami bimbang mengenai situasi pelancongan sehingga hujung tahun ini," ujar Menteri Pelancongan dan Sukan, Kobkarn Wattanavrangkul.
Begitupun, kata beliau adalah tidak perlu untuk menilai semula sasaran tahun ini iaitu kunjungan 28.8 juta pelancong asing dengan menjana pendapatan sehingga 2.2 trilion baht (RM220 bilion).
Pengeboman itu mungkin meninggalkan impak psikologi pada pelancong asing terutamanya dari China. Setakat ini beberapa pembatalan dan penangguhan kunjungan sudah dikenal pasti manakala pembatalan penginapan hotel dijangka meningkat dalam tempoh dua minggu ini.
Pelancongan dilihat sebagai satu-satunya mekanisme pertumbuhan ekonomi Thailand setelah nilai eksportnya berkurangan.
Pada Selasa, 23 buah negara telah mengeluarkan nasihat dan panduan berjaga-jaga bagi rakyatnya yang mahu mengunjungi Thailand.
Sementara syarikat perhotelan seperti Central Plaza Hotel Plc (Centel) dan Erawan yakin bahawa situasi kembali stabil dalam tempoh antara sebulan hingga enam bulan, Ketua Eksekutif Nok Air Patee Sarasin pula bimbang situasi boleh menjadi buruk berikutan tragedi letupan bom tersebut.
"Ini perkara paling teruk pernah terjadi kepada kita. Tidak pernah saya alami perkara sebegini dalam hidup. Terlalu banyak kematian berlaku terutamanya orang asing. Itulah yang memburukkan keadaan," ujarnya.
#bom #pelancongan #Ratchaprasong #Thailand
;