Boeing sedia bantu siasatan nahas pesawat China Eastern Airlines
Hafizi Rosli
Mac 22, 2022 10:58 MYT
Mac 22, 2022 10:58 MYT
PENGELUAR pesawat berpusat di Amerika Syarikat (AS), Boeing Co sedia membantu siasatan nahas membabitkan pesawat China Eastern Airlines (MU 5735) yang terhempas di kawasan pergunungan di selatan China pada Isnin.
Dalam kenyataannya di Twitter, Boeing memaklumkan pihaknya sedang berhubung dengan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB) dan pakar teknikalnya bersedia membantu siasatan yang diketuai Pentadbiran Penerbangan Awam China.
Boeing memaklumkan akan turut bekerjasama dengan pelanggan syarikat penerbangan China itu.
Pada Isnin, pesawat jenis Boeing 737 yang membawa 132 penumpang dan kru terhempas di barat daya China.
Tiada maklumat mengenai punca nahas kapal terbang itu, sebuah pesawat 737-800 berusia 6 tahun, menurut Flightradar24.
Data FlightRadar24 juga menunjukkan penerbangan itu berlepas dari bandar barat daya Kunming ke Guangzhou.