Boeing ramal hampir 44,000 pesawat diperlukan menjelang 2043

Bernama
Julai 20, 2024 20:33 MYT
Boeing jangka jumlah keseluruhan pesawat penumpang dan kargo yang digunakan di seluruh dunia akan hampir dua kali ganda menjelang 2043. - Reuters
SAN FRANCISCO: Pengeluar pesawat Amerika Syarikat, Boeing meramalkan bahawa industri penerbangan akan memerlukan hampir 44,000 pesawat dalam tempoh dua dekad akan datang, menurut ramalan jangka panjang terbarunya yang dikeluarkan pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Boeing menjangkakan jumlah keseluruhan pesawat penumpang dan kargo yang digunakan di seluruh dunia akan hampir dua kali ganda menjelang 2043.
Perjalanan kini menjadi lebih penting kepada orang ramai berbanding sebelum pandemik koronavirus, kata pengurus Boeing, Darren Hulst. Permintaan juga meningkat kerana pesawat digantikan lebih lewat daripada biasa disebabkan oleh kesesakan penghantaran.
Secara purata, katanya, usia pesawat adalah sekitar satu hingga satu setengah tahun lebih tua berbanding sebelum pandemik.
Boeing menaikkan jangkaan permintaannya sebanyak tiga peratus dalam tempoh setahun, dengan sekitar tiga perempat daripada pesawat yang diperlukan adalah pesawat lorong tunggal (pesawat badan sempit).
Syarikat penerbangan tambang rendah memainkan peranan penting dalam hal ini, kata Hulst, manakala satu perlima daripada permintaan jangka panjang dijangka akan datang dari China sahaja.
Boeing tidak menjangkakan pesawat dengan penyelesaian reka bentuk inovatif akan memasuki armada syarikat penerbangan dalam beberapa tahun akan datang. Malah jika pesawat baharu sedemikian diperkenalkan dalam dua dekad akan datang, penghantaran dijangka kekal rendah, tambah Hulst.
Dalam ramalan terbarunya, pesaing Boeing, Airbus - pengeluar pesawat terbesar di dunia - juga meramalkan keperluan lebih daripada 42,000 pesawat baharu menjelang 2043. Syarikat Eropah itu menekankan bahawa pesawa ini akan menggantikan model dengan penggunaan bahan api yang lebih tinggi.
-- BERNAMA
#Boeing #industri penerbangan #pesawat #penumpang #kargo
;