Boeing ramal 2.4 juta pekerjaan baharu dalam industri penerbangan untuk tempoh 20 tahun
Bernama
Julai 23, 2024 12:32 MYT
Julai 23, 2024 12:32 MYT
SAN FRANCISCO: Laporan Tinjauan Juruterbang dan Juruteknik (PTO) Boeing 2024 meramalkan keperluan hampir 2.4 juta golongan profesional baharu dalam industri penerbangan bagi tempoh 20 tahun akan datang.
Hal ini didorong oleh pengembangan rangkaian pesawat komersial global dan peningkatan permintaan perjalanan udara, lapor Xinhua.
Pesawat komersial akan memerlukan 674,000 juruterbang, 716,000 juruteknik penyelenggaraan dan 980,000 kru kabin sehingga 2043 untuk mengekalkan rangkaian pesawat global, menurut PTO.
"Didorong oleh aliran trafik penerbangan yang melebihi paras sebelum pandemik, pengurangan tenaga kerja dan pertumbuhan rangkaian pesawat komersial, permintaan untuk tenaga kerja penerbangan terus meningkat," kata naib presiden Penyelesaian Latihan Komersial di Boeing Global Services, Chris Broom.
Dua pertiga daripada tenaga kerja baharu akan menggantikan pekerja yang berhenti, manakala satu pertiga akan menyokong pertumbuhan rangkaian pesawat komersial, menurut PTO.
Eurasia, China dan Amerika Utara akan mendorong permintaan lebih daripada separuh tenaga kerja baharu dalam industri ini.
Asia Selatan, Asia Tenggara dan Afrika adalah wilayah yang paling pesat berkembang untuk tenaga kerja dengan permintaan pekerja dijangka meningkat lebih tiga kali ganda dalam tempoh 20 tahun.
-- BERNAMA