Boeing gantung semua penerbangan pesawat 737 MAX
Agensi
Mac 14, 2019 11:33 MYT
Mac 14, 2019 11:33 MYT
BOEING telah menggantung kesemua fleet pesawat 737 MAX selepas penyiasat membongkar bukti terbaru di lokasi nahas pesawat Ethiopian Airlines yang terhempas pada 10 Mac lalu.
Pengeluar pesawat dari Amerika Syarikat (AS) itu menyatakan pihaknya menggantung kesemua 371 pesawat di seluruh dunia.
Menurut Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) negara AS, bukti dari lokasi serta data satelit terbaru menjadi faktor utama di sebalik keputusan pergantungan itu.
Keputusan itu susulan tragedi yang menimpa pesawat Ethiopian Airlines, tragedi kedua yang melibatkan pesawat Boeing 737 MAX berikutan pesawat sama milik syarikat Lion Air yang turut terhempas Oktober lalu.
“Ia jelas bahawa perjalanan dan pergerakan pesawat Ethopian Airlines itu hampir serupa dengan aktiviti pesawat Lion Air tersebut,” kata Dan Elwell, salah seorang pentadbir di FAA, mengenai bukti tersebut pada Rabu.
"Bukti yang ditemui di tempat kejadian memang menggambarkan laluan penerbangan yang sangat menyerupai laluan pesawat Lion Air itu,” tambahnya.
Sebaliknya, syarikat Boeing berkata bahawa pihaknya “masih yakin dengan keselamatan pesawat 737 MAX”.
Namun, mereka mengambil keputusan untuk menggantung pesawat itu serta-merta susulan perbincangan bersama pihak FAA dan Badan Keselamatan Pengangkutan Nasional AS “atas sebab berhati-hati serta untuk meyakinkan orang umum mengenai keselamatan pesawat itu”.
“Kami telah berusaha sepenuhnya untuk memahami sebab kemalangan-kemalangan tersebut berlaku bersama bantuan pihak penyiasat dan memastikan ia tidak akan berlaku lagi,” kata Dennis Muilenberg, Ketua Eksekutif, Pengarah dan Presiden Boeing.
Presiden Persatuan Atendan Penerbangan-CWA, Sara Nelson pula membuat kenyataan berlatar belakangkan patriotisme kepada negaranya, menyatakan: “Nyawa manusia memang perlu diutamakan. Namun, jenama juga ditaruhkan."
“Jenama yang terlibat bukan sahaja Boeing, tetapi juga jenama Amerika. Amerika melambangkan industri penerbangan antarabangsa dan kepada seluruh dunia, piawaian tertinggi bagi keselamatan, kecekapan dan kejujuran dalam pentadbiran penerbangan.”
Berikutan pengumuman penggantungan itu, saham Boeing naik $377 setiap satu unit.
Namun, nilai pasaran syarikat itu telah menjunam dengan kehilangan sebanyak $26 bilion sejak tragedi yang menimpa pesawat Ethiopian Airlines pada Ahad lepas.
Kesemua 157 penumpang dan kru maut dalam nahas pesawat itu yang terhempas ketika dalam penerbangan dari Addis Ababa ke Nairobi.
#Amerika Syarikat
#Boeing
#Boeing 737 Max
#ethiopia
#Ethiopian Airlines
#Lion Air
#nahas pesawat
#penerbangan
#pesawat
#terhempas
#tragedi