Boeing, CAE akan bekerjasama dalam latihan juruterbang
Bernama
Jun 20, 2023 12:06 MYT
Jun 20, 2023 12:06 MYT
SAN FRANCISCO: CAE akan menjadi penyedia latihan bertauliah Boeing dan yang pertama menawarkan kurikulum Latihan dan Penilaian Berasaskan Kompetensi (CBTA) Boeing.
Perkara itu diumumkan Boeing pada Isnin selepas pemeteraian perjanjian antara kedua-dua pihak.
Hasil perjanjian itu, Boeing dan CAE dijangka meluaskan akses latihan penerbangan yang berkualiti tinggi dan inovatif kepada pelanggan penerbangan komersial di seluruh dunia, lapor Xinhua.
"Perkongsian ini meningkatkan kapasiti latihan penerbangan berasaskan kecekapan bagi memenuhi keperluan pelanggannya di seluruh dunia.
"Dengan berkongsi data, memanfaatkan keupayaan digital dan menyediakan kebolehcapaian dan kemampuan yang lebih besar, Boeing dan CAE mampu meningkatkan keselamatan penerbangan global," kata presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Boeing Global Services, Stephanie Pope.
Pelaksanaan CBTA Boeing dapat memanfaatkan teknologi termaju digital dan data operasi armada bagi menyesuaikan latihan kepada setiap individu dan membantu juruterbang bertindak balas dengan cekap menghadapi cabaran dalam penerbangan.
India bakal menjadi lokasi CAE pertama yang mengaplikasikan kurikulum Boeing.
Boeing sedang melaksanakan kurikulum CBTA di kampus latihan globalnya di Seattle, Miami, London-Gatwick, Shanghai, dan Singapura, serta di seluruh dunia.
"Sebagai penyedia latihan yang diberi kuasa oleh Boeing, CAE akan memanfaatkan kepakaran dan rangkaian globalnya untuk meluaskan akses kepada latihan berkualiti tinggi pada pesawat komersial Boeing dan menyediakan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan juruterbang," kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif CAE, Marc Parent.
-- BERNAMA