Bocorkan rahsia: Setiausaha Pertahanan Britain dipecat

Astro Awani
Mei 1, 2019 06:05 MYT
Setiausaha Pertahanan Gavin Williamson dipecat oleh Perdana Menteri Britain Theresa May. - Foto Reuters/Alkis Konstantinidis
Setiausaha Pertahanan Britain, Gavin Williamson dipecat selepas satu siasatan mendakwa dia bertanggungjawab membocorkan perbincangan rahsia kerajaan mengenai syarikat telekomunikasi China, Huawei.
Dalam satu kenyataan pada Rabu, Perdana Menteri Theresa May berkata, beliau telah hilang keyakinan kepada Williamson.
Kenyataan dari Downing Street itu turut menyebut kesan tindakan Williamson terhadap Majlis Keselamatan Nasional (NSC) amat serius dan memerlukan tindakan segera.
“Perkara ini amat serius. Saya perlu mendapat keyakinan penuh anggota Kabinet dan Majlis Keselamatan Nasional.
“Isi ini sangat serius, kesannya terhadap operasi NSC dan kepentingan nasional United Kingdom (UK) memerlukan tindakan segera,” kata May dalam sepucuk surat kepada Williamson seperti dipetik Reuters.
Satu siasatan dilancarkan minggu lalu selepas beberapa berita melaporkan majlis tersebut telah bersetuju untuk membenarkan Huawei mengambil bahagian dalam rangkaian telekomunikasi tanpa wayar 5G negara itu.
Pihak kerajaan menegaskan bahawa keputusan mengenai perkara berkenaan belum dibuat lagi.
Dalam pada itu, Williamson menafikan dia dalang di sebalik kebocoran rahsia kerajaan.
Dalam satu surat yang dimuat naik di akaun Twitter miliknya, Williamson berkata dia tidak akan menerima tawaran untuk meletak jawatan sebelum ini kerana itu akan memberi implikasi bahawa dia bersalah.
"Saya kesal yang awak berpendapat kebocoran rahsia yang melibatkan NSC datangnya daripada jabatan saya. Namun saya percaya bukan ini yang berlaku.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya yang saya terlibat dalam isu kebocoran rahsia ini dan saya percaya siasatan menyeluruh mengenai perkara ini akan buktikan saya tidak bersalah," katanya.

pic.twitter.com/beAQiM8gyn

— Gavin Williamson MP (@GavinWilliamson) May 1, 2019
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Pendedahan yang diterbitkan oleh Daily Telegraph itu menimbulkan kontroversi kerana beberapa negara barat termasuk Amerika Syarikat, mendakwa produk keluaran Huawei boleh digunakan oleh China untuk aktiviti pengintipan.
#China #Downing Street #Gavin Williamson #Huawei #rahsia #Setiausaha Pertahanan #Theresa May
;