Bloomberg pertimbang jadi calon bebas pemilihan presiden AS

Astro Awani
Januari 24, 2016 19:05 MYT
Sumber terdekat menyatakan Bloomberg mahu menyertai pemilihan presiden Amerika Syarikat yang dijangka sengit sekiranya parti Demokrat mencalonkan Bernie Sanders untuk menentang mana-mana calon Republikan - Foto AFP
JUTAWAN dan bekas Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg dilaporkan telah mengarahkan para petugasnya untuk menyediakan rangka kerja lengkap bagi kempen calon bebas pilihan raya presiden Amerika Syarikat, lapor CNN.
Menurut sumber terdekat yang enggan dinamakan, Bloomberg telah memberitahu teman rapat dan rakan niaga mengenai kesediaannya membelanjakan satu bilion dolar untuk pilihan raya November ini.
Sumber tersebut turut menjelaskan Bloomberg akan mengumumkan keputusannya Mac ini selepas mengarahkan tinjauan dibuat Disember lalu untuk menilai penerimaan pengundi terhadapnya.
Salah seorang bekas penasihat Bloomberg dalam The New York Times pula mendedahkan bekas Datuk Bandar itu percaya rakyat Amerika kali ini mahukan calon presiden yang tidak taksub dengan satu-satu ideologi atau parti sebaliknya mendahulukan pencapaian.
Satu tinjauan yang dilakukan oleh firma kajian Morning Consult mendapati Bloomberg memperoleh 13 peratus sokongan sekiranya bertanding menentang Donald Trump dan Hillary Clinton.
Tidak ada calon bebas yang pernah memenangi pilihan raya presiden dalam sejarah Amerika Syarikat. Beberapa calon bagaimanapun dikatakan pernah mempengaruhi keputusan pilihan raya tersebut.
Pada tahun 1992, misalnya, Ross Perot menyertai pilihan raya presiden Amerika Syarikat menentang George H.W. Bush dan Bill Clinton.
Beberapa penganalisis politik tempatan menyatakan penyertaan ahli perniagaan Texas itu telah menyusutkan bilangan undi kepada Bush sekali gus menjadikan Clinton Presiden Amerika Syarikat ke-42.
Michael Bloomberg berkhidmat sebagai Datuk Bandar New York dari tahun 2002 hingga 2013 dan menukar parti dari Republikan kepada bebas pada tahun 2007.
#Amerika Syarikat #Donald Trump #Hillary Clinton #Michael Bloomberg
;