Blinken mahu keselamatan rakyat Gaza sebelum operasi ketenteraan diteruskan

Astro Awani
Disember 1, 2023 08:00 MYT
Blinken berucap ketika mengadakan lawatan ke Tel Aviv pada Khamis. - Foto AP
BAITULMAQDIS: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken menggesa Israel memastikan orang awam Palestin di selatan Gaza selamat dan keperluan kemanusiaan mereka dipenuhi sebelum menyambung semula operasi ketenteraan.
Kenyataan ini dibuat Blinken ketika bertemu Perdana Menteri Benjamin Netanyahu di Baitulmaqdis sebelum menuju ke Ramallah di Tebing Barat untuk bertemu Presiden Palestin Mahmoud Abbas.
Ia adalah lawatan ketiganya ke Asia Barat sejak 7 Oktober lalu.
Beliau berkata, gencatan senjata selama 7 hari antara Israel dan Hamas telah membuahkan hasil dan Washington berharap ia akan berterusan.
Dalam mesyuarat di Baitulmaqdis, Blinken mengulangi sokongan AS terhadap hak Israel dengan mematuhi undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Blinken menggesa Israel untuk mengambil setiap langkah yang mungkin untuk mengelakkan bahaya orang awam.
Blinken turut menggesa langkah segera diambil untuk menahan pelampau peneroka Israel yang bertanggungjawab atas keganasan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat.
Blinken mengulangi bahawa Washington tetap komited pada langkah-langkah nyata untuk memajukan negara Palestin "hidup dalam aman, kebebasan dan keselamatan bersama Israel".
Diplomat tertinggi AS itu berkata, Washington memberi tumpuan untuk membantu mendapatkan kebebasan untuk lebih banyak tebusan ditahan di Gaza.
#Antony Blinken #Israel #Gaza #gencatan senjata
;