Blinken dijadual adakan pertemuan dengan Wang Yi di Laos

Syafik Shukri Jalil
Julai 26, 2024 11:40 MYT
Isu berkenaan situasi dan konflik di Myanmar mendominasi perbincangan dalam beberapa siri pertemuan Menteri Luar ASEAN. - Foto AP
VIENTIANE: Isu pertikaian di Laut China Selatan dijangka akan melatari pertemuan di antara Menteri-Menteri Luar ASEAN bersama Menteri Luar China, Wang Yi menerusi mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-57, di Vientiane, Laos, pada Jumaat.
Dua hari sebelum ini, isu berkenaan situasi dan konflik di Myanmar mendominasi perbincangan dalam beberapa siri pertemuan Menteri Luar ASEAN.
Malaysia menerusi Datuk Seri Mohamad Hasan pada Khamis, secara tegas menggesa kerajaan Junta untuk memulihkan keadaan semasa dalam negara bersandarkan kepada Konsensus Lima Perkara yang dipersetujui di Indonesia pada 2021.
Ini kerana menurutnya, konflik kemanusiaan di negara itu ‘merebak’ ke banyak lokasi lain di sekitar Asia Tenggara dan pastinya ia akan terus menjadi isu dominan ASEAN sekiranya konflik berterusan.
Untuk hari ini, ketibaan Wang Yi di National Convention Centre (NCC), Vientiane, pada pagi ini memberi bayangan bahawa banyak isu serantau lain yang akan dibincangkan selain pertikaian di Laut China Selatan.
Memperkukuhkan hubungan dagang dan dua hala dengan negara ASEAN pastinya antara yang akan dibincangkan oleh Wang Yi dan kesemua Menteri Luar hari ini.
Namun isu lain pastinya melibatkan penyelesaian kesepakatan sementara yang dicapai antara Manila dan Beijing dalam isu beting yang dipertikaikan kedua-dua negara di Laut China Selatan.
Filipina sebelum ini pernah menggesa penyelesaian pertikaian dapat diperakukan bagi mengelak sebarang campur tangan daripada pihak luar dalam isu tersebut.
Sebelum ini, menerusi laporan beberapa portal berita global, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken dijadual akan turut hadir ke Vientiane untuk mengadakan pertemuan dengan Wang Yi, hari ini.
Namun, Blinken dilaporkan hanya akan menyertai pertemuan dengan Menteri-Menteri Luar ASEAN pada Sabtu.
Malah, Blinken juga dijadual akan mengadakan pertemuan dengan kumpulan yang lebih besar yang melibatkan diplomat kanan bukan sahaja dari anggota ASEAN tetapi juga Rusia, India, dan kemungkinan juga dengan Korea Utara.
Bukan lagi rahsia umum, dunia mengetahui ketegangan hubungan antara Washington dan Beijing yang berlarutan sekian lama dan semakin meruncing banyak berkisar dalam isu keselamatan, perdagangan dan hak asasi manusia.
Isu Taiwan, perang di antara Rusia dan Ukraine, konflik kemanusiaan dan pembunuhan beramai-ramai di Palestin, mungkin antara perbincangan yang akan menjadi fokus utama mesyuarat demi mesyuarat hari ini.
Kehadiran Blinken pastinya dinantikan bagi melihat apakah resolusi dan cadangan terbaharu yang akan digariskan Washington dalam menangani konflik serta isu-isu yang mendominasi dunia ketika ini.
Apakah akan ada pertemuan antara Blinken dan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov selepas wakil Kremlin mengadakan pertemuan dengan sekutunya, Wang Yi semalam?
Apakah juga akan berlaku sebarang pertemuan dengan wakil dari Korea Utara dengan Blinken?
Hal ini kerana dunia bakal menyaksikan perubahan pentadbiran di Amerika Syarikat selepas Presiden Joe Biden mengumumkan untuk menarik diri dan tidak bertanding dalam pilihan raya November ini.
Dua pilihan utama sama ada Donald Trump atau Kamala Harris? Pastinya kedua-dua memperjuang dasar berbeza sekiranya dipilih ke White House kelak.
Walaupun Blinken juga umum undur diri dalam pilihanraya akan datang, kehadirannya di AMM ke-57 dalam penggal terakhirnya sebagai Setiausaha Negara AS amatlah prominen bagi dunia dan Asean khususnya memahami naratif utama Washington selepas ini.
#ASEAN #wang yi #Menteri Luar #Antony Blinken
;