Blinken bincang usaha terkini di Gaza dengan Al-Sissi di Mesir

Bernama
Ogos 20, 2024 23:50 MYT
Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken membincangkan rundingan gencatan senjata pusingan terkini di Gaza dengan Presiden Mesir Abdel-Fattah al-Sissi di bandar pesisir utara Al-Alamein. - Foto REUTERS
KAHERAH: Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken membincangkan rundingan gencatan senjata pusingan terkini di Gaza dengan Presiden Mesir Abdel-Fattah al-Sissi di bandar pesisir utara Al-Alamein, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Blinken memaklumkan al-Sissi mengenai hasil lawatannya ke Israel, sambil menekankan komitmen AS terhadap usaha mencapai ketenteraman dan mencapai satu perjanjian di Semenanjung Gaza, kata kenyataan presiden.
Al-Sissi memberi amaran mengenai kemungkinan akibat yang "sukar dibayangkan" jika konflik itu merebak ke peringkat serantau, dengan menyatakan bahawa menghentikan pertumpahan darah harus menjadi keutamaan semua pihak.
Presiden Mesir itu turut menyatakan bahawa gencatan senjata di Gaza sepatutnya menjadi permulaan kepada pengiktirafan antarabangsa yang lebih luas terhadap negara Palestin serta pelaksanaan penyelesaian dua negara, sambil menambah bahawa ini akan menjadi jaminan utama untuk kestabilan di rantau berkenaan.
Blinken berada di Israel pada Isnin dan dijangka menuju ke Qatar selepas mesyuaratnya di Mesir.
-- BERNAMA
#Antony Blinken #gencatan senjata #Gaza #Presiden Mesir Abdel-Fattah al-Sissi