Blinken bertemu Abbas di Ramallah, kata AS tentang perluasan penempatan Israel
Bernama
Februari 1, 2023 11:50 MYT
Februari 1, 2023 11:50 MYT
RAMALLAH: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken bertemu dengan Presiden Palestin Mahmoud Abbas di bandar Ramallah Tebing Barat pada Selasa.
Lawatan Blinken ke Ramallah adalah pusingan terakhir dalam jelajah serantau diplomat itu termasuk membabitkan Israel dan Mesir, lapor Agensi Anadolu.
Semasa mesyuarat itu, Blinken berkata Washington menentang sebarang tindakan yang menyukarkan proses penyelesaian dua negara, termasuk peluasan penempatan dan merobohkan kediaman.
"Kami percaya adalah penting untuk mengambil langkah meredakan dan menghentikan keganasan, mengurangkan ketegangan - dan cuba mewujudkan asas bagi tindakan yang lebih positif pada masa hadapan.
"Apa yang kita lihat sekarang harapan untuk Palestin semakin mengecil, bukan semakin berkembang. Dan kami percaya keadaan ini perlu berubah," kata Blinken.
Dalam pertemuan itu, ketua diplomat AS mengumumkan bahawa Washington akan menyalurkan US$50 juta untuk agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi pelarian Palestin (UNRWA).
Sementara itu, Abbas menuduh Israel menjejaskan penyelesaian dua negara dan menyalahkan masyarakat antarabangsa kerana gagal menghentikan pendudukan Israel dan menamatkan peluasan penempatannya.
"Kami mengalu-alukan anda, dan kami mengesahkan bahawa kerajaan Israel bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku hari ini kerana perbuatannya menjejaskan penyelesaian dua negara dan melanggar perjanjian yang ditandatangani, dan kerana kurangnya usaha antarabangsa untuk menghalang pendudukan, dan kegagalan mengiktiraf negara Palestin dan keahlian penuhnya dalam PBB," katanya.
Pada Isnin, Blinken menyeru Israel dan pihak Palestin "untuk mengambil langkah-langkah yang perlu bagi meredakan ketegangan."
Lawatan beliau di tengah-tengah peningkatan keganasan di wilayah Palestin susulan operasi ketenteraan Israel di bandar Jenin yang menyebabkan sekurang-kurangnya 10 rakyat Palestin terbunuh pada Khamis.
Susulan daripada operasi itu, dua kejadian tembakan di Baitulmaqdis turut meragut tujuh nyawa warga Israel.
-- BERNAMA