Blackburn Rovers buka pintu Ewood Park untuk solat sunat Aidilfitri
Firdaus Azil
Mei 4, 2022 12:05 MYT
Mei 4, 2022 12:05 MYT
KEMERIAHAN Aidilfitri disambut dengan pelbagai cara yang unik.
Terbaharu, di England, kelab bola sepak Blackburn Rovers FC yang berpangkalan di Lancashire mengambil inisiatif menganjurkan solat sunat Aidilfitri di stadium Ewood Park bagi ribuan masyarakat yang beragama Islam.
Ia sekali gus menjadikan Rovers sebagai kelab bola sepak United Kingdom pertama berbuat demikian.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Rovers, Steve Waggot, sambutan pada Selasa itu menandakan satu perkembangan signifikan, bukan sahaja untuk kelab berkenaan, tetapi untuk bola sepak di seluruh dunia.
“Untuk melihat kesemua ahli keluarga – yang sebahagian besar daripada mereka tidak pernah terfikir akan dapat menjejakkan kaki ke Ewood Park – berjalan di atas padang ini cukup memberi makna yang mendalam, dan ia adalah sesuatu yang indah untuk diperhatikan.
“Dan kini mereka sudah melihatnya, dan mereka mendapat satu pengalaman yang cukup indah. Harapnya mereka akan terus kembali,” katanya seperti dikongsikan melalui laman Twitter Blackburn Rovers FC.
Imam yang mengetuai solat sunat berkenaan, Wasim Kempson, turut menzahirkan penghargaan kepada Rovers kerana membuka stadium tersebut untuk digunakan dalam majlis tersebut.
“Kami sangat berterima kasih kepada Blackburn Rovers kerana membuka pintu mereka, membenarkan kami menunaikan solat sunat di atas padang ini.
"Ia membuktikan hubungan baik antara masyarakat setempat dan kelab bola sepak ini.
“Ini merupakan satu contoh untuk semua kelab di luar sana, bahawa Rovers mengamalkan keterbukaan, selain membuktikan kita semua tetap boleh bersama di sebalik kepelbagaian,” katanya lagi.