Blackberry beralih kepada teknologi kenderaan tanpa pemandu

Agensi
Disember 19, 2016 09:33 MYT
Syarikat Blackberry Ltd dari Kanada akan membuka pusat penyelidikan kenderaan tanpa pemandu pada Isnin, sebagai usaha memastikan kelangsungan operasi dalam kerancakan permintaan industri automotif.
Perdana Menteri Justin Trudeau akan menghadiri pelancaran oleh syarikat perintis telefon pintar berpangkalan di Waterloo, Ontario itu pada Ahad. Jurucakap Blackberry bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang projek tersebut.
Blackberry, yang pernah dikenali dengan rangkaian telefonnya kini mempertaruh masa depannya dalam perniagaan membangunkan perisian dan pengurusan peralatan mudah alih selepas tidak dapat bersaing dalam pasaran telefon pintar yang didominasi syarikat-syarikat seperti Apple dan Samsung.
Blackberry melalui syarikat QNX kini lebih fokus dalam membangunkan teknologi bimbingan lanjutan pemandu dan kenderaan tanpa pemandu.
Secara amnya, syarikat itu mahu menumpukan perhatian kepada keupayaan interaksi antara perisian dengan jaringan pengesan, kamera dan komponen lain yang diperlukan bagi kenderaan untuk bergerak sendiri.
Bagaimanapun, memandangkan Silicon Valley telahpun melabur dengan besar dalam bidang kepintaran buatan untuk hal yang seumpamanya, Blackberry meletakkan matlamat untuk bertindak sebagai penggerak teknologi sokongan.
"Apa yang QNX lakukan adalah menawarkan infrastruktur yang membolehkan anda membina algoritma aras tinggi dan juga mendapatkan data daripada alat pengesan dengan kaedah yang lebih diyakini,” kata Profesor Madya Sebastian Fischmeister, dari University of Waterloo.
Tambahnya yang sudah berkhidmat dengan QNX sejak 2009, peranan syarikat tersebut adalah untuk menawarkan asas perisian untuk platform perkomputeran berprestasi tinggi.
Setakat ini, Blackberry dan pasukan penyelidikan universiti berkenaan mendapat lampu hijau untuk menguji kenderaan Lincoln Ford Motor Co dengan ciri pandu sendiri.
Syarikat itu juga sudah menandatangani perjanjian untuk bekerjasama dengan pembuat kereta berpangkalan di Detroit, dalam menyediakan perkhidmatan kongsi kereta kendalian robot menjelang 2021.
#BlackBerry #kenderaan pandu sendiri #perisian #teknologi pemanduan sendiri #telefon pingtar
;