Bintang YouTube berang diminta keluar pesawat gara-gara bertutur bahasa Arab
Kohilah Sekaran
Disember 22, 2016 10:25 MYT
Disember 22, 2016 10:25 MYT
SEORANG bintang program usikan (prank) YouTube kelahiran Arab-Amerika Syarikat mendakwa dia dikeluarkan dari sebuah pesawat penerbangan Delta kerana bertutur dalam bahasa Arab kepada ibunya menerusi telefon bimbit.
Adam Saleh, 23, berkongsi situasi menerusi sebuah video Twitter – mendakwa dia diarahkan keluar dari sebuah pesawat yang dijadualkan berlepas ke New York dari London pada pagi Rabu.
“Kami bercakap bahasa yang berlainan dalam pesawat, dan kini kami ditendang keluar," kata Adam, yang dalam perjalanan ke New York dengan kawannya yang dikenali sebagai Slim Albaher.
Adam mendakwa dia diminta keluar kerana tindakannya bertutur dalam bahasa Arab dengan ibunya telah mengundang ketidakselesaan dalam kalangan penumpang lain yang berada di dalam pesawat tersebut.
Rakaman video yang menunjukkan dia diiringi keluar oleh anak kapal penerbangan Delta itu menerima lebih dari sejuta tontonan dalam masa sehari.
Adam yang merakam insiden dalam kabin itu menzahirkan rasa kecewanya kerana diminta berbuat demikian oleh petugas pesawat.
Dalam rakamannya itu dia mempertikaikan kewajaran arahan demikian, namun dia disambut pula dengan lambaian tangan beberapa penumpang kulit putih lain yang mengucapkan 'Bye' kepadanya.
Ketika rakaman itu tersiar di muat naik ke media sosial, timbul keraguan dalam kalangan pengguna terhadap apa yang berlaku memandangkan Adam sering berkongsi video prank melibatkan syarikat penerbangan.
Sebelum ini, Adam terpaksa berterus terang berkenaan video viralnya mengenai kejadian diskriminasi anti-Islam di bandar New York yang mencetus kemarahan netizen. Bintang prank itu mengakui kejadian itu hanya sekadar ‘lakonan’.
Namun, bagi insiden terbaru ini, keraguan itu terjawab selepas Delta mengesahkan kejadian itu menerusi satu kenyataan media kepada BuzzFeed News.
“Dua penumpang telah dikeluarkan dari penerbangan ini selepas lebih dari 20 penumpang mengadu ketidakselesaan mereka kepada anak kapal.
“Kami menjalankan siasatan penuh untuk memahami apa yang berlaku. Kami memandang serius perkara ini; budaya kita mengajar untuk menghormati orang lain tanpa mengira bangsa dan kaum,” kata penerbangan Delta.
Bagaimanapun, Delta seterusnya menyatakan bahawa Adam Saleh dan kawannya diminta keluar kerana mengganggu penumpang dengan tingkah laku provokatif, termasuk menjerit.
Kredit gambar: BuzzFeed News