Bintang Hong Kong, Simon Yam, cedera ditikam di perut depan khalayak ramai

Agensi
Julai 20, 2019 15:43 MYT
Menurut pengurusnya, pelakon itu ditikam di bahagian perut selain cedera akibat dilibas senjata tajam di tangannya.
Bintang Hong Kong popular Simon Yam Tat-wah cedera ditikam pada pagi Sabtu sewaktu menghadiri acara promosi di selatan China, lapor portal berita South China Morning Post.
Aktor berusia 64 tahun yang juga dikenali kerana menjadi duta jenama kamera Canon itu diserang semasa pembukaan pusat jualan Beijing Easyphone di bandar Zhongshan, Guangdong.
Menurut pengurusnya, pelakon itu ditikam di bahagian perut selain cedera akibat dilibas senjata tajam di tangannya.
Video itu juga menunjukkan Simon kesakitan sambil memegang perutnya.
Dalam satu rakaman video yang dimuat naik di laman Weibo, Simon Yam dilihat sedang berbual dengan penganjur dan tuan rumah acara selain mengagihkan hadiah kepada tetamu yang dipanggil naik ke pentas.
Namun, apabila dia menyambut kedatangan seorang lelaki berpakaian berwarna gelap, lelaki itu mengeluarkan sebilah pisau dan menyerangnya.
Penyerang itu juga dilihat cuba menusuk mangsa beberapa kali menggunakan pisau.
Kekecohan itu berlangsung selama beberapa saat sebelum anggota keselamatan dan pengawal peribadi datang membantu memberi perlindungan.
Penyerang itu berjaya ditangkap dan dibawa pihak berkuasa meninggalkan lokasi itu.
Media tempatan juga melaporkan bahawa pelakon tersebut masih sedar selepas ditikam.
Difahamkan Simon kini dibawa ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan dan keadaannya stabil.
#aktor #Hong Kong #simon yam #simon yam ditikam
;