Bina Semula Gaza: Negara Arab mungkin bertegas kerana bimbang rakyat memberontak – Pengarah IEIJS

Irfan Faruqi
Mac 12, 2025 22:49 MYT
Persidangan Liga Arab yang dianggotai oleh 22 negara - Gambar fail/Reuters
KUALA LUMPUR: Bimbang dengan risiko pemberontakan rakyat sendiri mungkin menjadi faktor yang menyebabkan negara-negara Arab bertegas dalam isu bina semula Gaza.

Ringkasan AI
  • Sokongan Masyarakat Arab: Pemerintah negara-negara Arab perlu mendengar suara rakyat mereka untuk mengelakkan risiko pemberontakan. Sidang Kemuncak Liga Arab: Pada 5 Mac, sidang kemuncak Liga Arab di Kaherah menerima pakai rancangan pembinaan semula Gaza yang dikemukakan oleh Mesir. Penolakan Pemindahan Penduduk Palestin: Kenyataan akhir sidang kemuncak menegaskan penolakan terhadap sebarang usaha untuk memindahkan penduduk Palestin dari tanah mereka.

Pengarah Institut Kecemerlangan Pangajian Baitulmaqdis (IEIJS) Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya. Dr. Aminurraasyid Yatiban berkata, masyarakat awam Arab sememangnya tidak berbelah bahagi menyokong pembelaan nasib rakyat Palestin.
“Saya tidak menafikan faktor (bimbang dengan risiko pemberontakan rakyat jika negara-negara Arab tidak bertegas dalam isu Palestin) ini.
“Saya lihat mana-mana pemerintah, sama ada di Mesir, Jordan atau negara-negara Arab lain juga terpaksa mendengar suara rakyat masing-masing. Ini satu perkara yang tidak boleh disembunyikan lagi.
“Semua pihak terutamanya rakyat sama sekali tidak setuju dengan perkara yang dikemukakan oleh Trump (mengenai mengilhakkan Gaza),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Pada 5 Mac lalu, sidang kemuncak Liga Arab di Kaherah menerima pakai rancangan pembinaan semula Gaza bagi membangunkan kembali wilayah itu.
Kenyataan akhir sidang kemuncak menetapkan bahawa pelan dikemukakan oleh Mesir dengan penyelarasan penuh Negara Palestin dan negara-negara Arab, berdasarkan kajian yang dijalankan oleh Bank Dunia serta Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai pemulihan awal dan pembinaan semula Gaza sebagai satu rancangan komprehensif Arab.
Kenyataan itu turut menegaskan penolakan terhadap sebarang usaha untuk memindahkan penduduk Palestin dari tanah mereka 'atas apa jua alasan atau dalam apa jua keadaan'.
#sidang kemuncak #Bank Dunia #Palestin #PBB
;