Bimbang kegawatan politik berpanjangan, warga Hong Kong kini membeli hartanah di Malaysia
Agensi
Ogos 21, 2019 22:27 MYT
Ogos 21, 2019 22:27 MYT
Warga Hong Kong telah membeli kira-kira 200 unit apartmen di Malaysia dalam tempoh dua bulan lepas.
Menurut ejen hartanah, situasi itu adalah petanda bahawa kumpulan pembeli itu sudah tidak yakin lagi untuk tinggal dalam kegawatan politik di wilayah pentadbiran khas China tersebut.
Reuters melaporkan, pembelian terkini itu adalah hampir dua kali ganda bilangan apartmen yang sudah dimiliki warga Hong Kong di projek Forest City di Johor, yang dibangunkan syarikat China, Country Garden Holdings Ltd.
Ejen hartanah menjangkakan Malaysia dan Thailand akan mendapat keuntungan daripada kekecewaan warga Hong Kong yang sudah letih dengan protes jalanan yang berlanjutan selama berbulan-bulan.
Hong Kong adalah bekas koloni British sebelum ia dikembalikan kepada pentadbiran China pada 1997.
Penjualan hartanah Forest City adalah petanda jelas tentang minat warga Hong Kong untuk mencari tempat tinggal baharu yang lebih aman dari wilayah mereka sendiri, dan bukannya sebagai pembelian pelaburan.
“Mereka sudah tahu tentang projek hartanah tersebut, namun perkembangan di Hiong Kong membuatkan mereka sedia untuk berhijrah. Setiap hujung minggu, ada saja yang akan mengesahkan pembelian mereka,” ujar konsultan VPC Asia Pasifik, Bruce Lee.
#AWANIByte: Protes Hong Kong punca penerbangan dibatalkan
Seorang ejen lain untuk Forest City, meminta untuk tidak dinamakan, mengesahkan pembelian dan memberikan alasan protes di Hong Kong sebagai sebab kenaikan faedah.
Country Garden, yang merancang untuk membina penginapan yang mampu menempatkan 700,000 orang di Forest City, belum memberi sebarang komen.
Seorang pegawai pemasaran di Forest City menolak untuk mengesahkan sebarang pembelian baharu tetapi berkata sejak dilancarkan pada awal 2016, kira-kira 200 penduduk Hong Kong telah melabur dalam pembangunan itu. Pegawai itu bagaimanapun tidak mahu identitinya didedahkan.
Setiap unit baharu di Johor yang berjiran dengan Singapura itu berharga lebih daripada RM1 juta.
Reuters melaporkan minggu ini bahawa satu program Malaysia untuk menarik warga asing tinggal di negara ini telah berjaya menarik 251 permohonan dari penduduk Hong Kong, berbanding 193 yang diluluskan tahun lalu.