Bimbang gelombang keempat COVID-19: Korea Selatan tutup kelab malam, pusat hiburan

Agensi
April 9, 2021 12:09 MYT
Penutupan operasi kelab malam dan pusat hiburan malam lain di Korea Selatan adalah untuk mencegah penularan dan bersedia tentang kemungkinan kedatangan gelombang keempat. - Reuters
SEOUL: Korea Selatan kembali mengenakan larangan ke atas oerasi kelab malam, bar karaoke dan kemudahan hiburan malam lain, menurut pihak berkuasa pada Jumaat.
Reuters melaporkan, perintah itu dikuatkuasakan selepas kes baharu jangkitan COVID-19 dikesan, sekali gus mencetus kebimbangan tentang kemungkinan penularan gelombang keempat virus itu.
Perdana Menteri Chung Sye-kyun mengumumkan perintah larangan itu, yang bermula Isnin ini selama tiga minggu.
Kes baharu harian di Korea Selatan menunjukkan peningkatan dan mencapai angka tertinggi dalam tempoh tiga bulan sejak beberapa hari lalu.
Sementara itu, perintah penutupan operasi tempat makan umum pada jam 10 malam dan larangan perkumpulan yang melebihi empat orang, akan diteruskan buat masa ini.
"Tanda-tanda gelombang keempat epidemik yang kita ingin elakkan nampaknya semakin dekat dan menjadi lebih kuat. Kita akan kekalkan protokol kesihatan berkaitan penjarakan fizikal, malah akan giat mengetatkan langkah-langkah pencegahan lain bergantung pada situasi," kata Chung dalam satu mesyuarat berkaitan pengendalian pandemik berkenaan.
Agensi Pencegahan dan Kawalan Penyakit Korea Selatan (KDCA) melaporkan sejumlah 671 kes baharu pada Khamis, sehari selepas kes jangkitan di negara itu mencecah angka tertinggi sejak Januari lalu.
Banyak kluster baharu juga dikenal pasti, berpunca daripada perhimpunan di gereja, bar dan gimnasium, dengan kebanyakannya di sekitar Seoul.
Keseluruhan jumlah kes COVID-19 di negara itu adalah seramai 108,269, dengan 1,764 kematian setakat ini.
#COVID-19 #pandemik #gelombang keempat #Seoul #Korea Selatan #kelab malam #pusat hiburan #bar #jangkitan #penularan
;