Bimbang ditembak di bumi bergolak, imam berserah kepada Allah

Dr Azlinariah Abdullah
Januari 9, 2020 06:01 MYT
Imam Ishak Daud, Imam Masjid Darul Muhajirin. - Astro AWANI
Bukan Imam tidak takut dan bimbang. Golongan pendakwah juga bukan tidak resah atau khuatir.
Apabila datang perasaan bimbang, takut atau resah, kalau-kalau mereka mati kerana peluru dan bom, Imam di Pattani, Yala dan Narathiwat segera membulatkan tekad dalam hati, hidup mati diserah kepada Allah semata-mata.
Itu antara perasaan bercampur-baur golongan agamawan khususnya imam-imam di masjid serta surau di selatan Thailand, memberi reaksi kepada rutin harian mereka sejak 16 tahun lalu apabila pemberontakan dan konflik berlanjutan tanpa henti di Pattani, Yala dan Narathiwat.
Mereka hanya hanya mampu berserah kepada takdir Allah dalam usaha menyebarkan Islam di bumi yang bergolak itu.
Imam Masjid Darul Muhajirin, daerah Yareng, Pattani, Ishak Daud, akui sememangnya ada perasan bimbang di hatinya serta rakan-rakan imam di daerah lain apabila mengingati tentang hidup serta mati.
"Mesti ada bimbang dengan ancaman ketika menjadi ketua di dalam solat secara berjemaah atau menyampaikan dakwah. Tetapi, itu tidak boleh jadi alasan untuk kita tunduk daripada menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Muslim.
"Soal mati, hidup atau bilakah ajal, kita berserah kepada Allah. Tapi kalau kata terjejas memang terjejas juga. Tetapi, adakah hanya kerana terjejas itu langsung tidak boleh kita melakukan aktiviti dalam agama? Tentunya tidak,'' kata beliau semasa ditemui di sini.
Ia seperti menggaru di tempat yang tidak gatal; gatal tidak hilang, tetapi akan terus menggaru
Beliau ditanya jika ada perasaan takut menjadi imam masjid di tiga wilayah bergolak apabila golongan itu dijadikan sasaran pihak tidak bertanggungjawab dalam melancarkan keganasan.
BACA: Sukarnya mahu damai di selatan Thailand
Ishak turut merujuk kepada insiden tembak mati yang menimpa Imam Masjid Jamek Pattani, Yaakob Ramaini pada Ogos 2013.
Untuk rekod, Yaakob mati dibunuh dengan kejam apabila ditembak dua das di kepala. Semasa kejadian, Allahyarham sedang membeli juadah untuk berbuka puasa di bazar Ramadan di pekan Pattani.
Selepas kematiannya, tempat Allahyarham digantikan Imam Abdul Razak Wan Soh.
Sementara itu, Ishak berkata, perasaan takut mati disebabkan peristiwa yang menimpa Yaakob tidak boleh dilayan kerana pada akhirnya, mereka akan dihantui oleh sifat takut, sekali gus berpotensi menggagalkan usaha untuk menyebarkan syiar Islam.
Di selatan Thailand, imam-imam bertindak memainkan peranan dalam menyampaikan dakwah selain menjadi ketua dalam mengimamkan solat secara berjemaah.
Ishak berkata, imam-imam di selatan Thailand tidak akan cuai menggalas tugas masing-masing dalam memberikan didikan agama kepada masyarakat setempat.
Mesti ada bimbang... tetapi, itu tidak boleh dijadikan alasan lari dari tanggungjawab
Ujarnya, langkah mereka itu mendapat sokongan daripada pihak Majlis Agama Islam di mana penyampaian dakwah dilakukan setiap minggu menerusi khutbah Jumaat yang disediakan oleh pihak berkuasa agama itu.
Sejak 2004, di mana berlaku rampasan di gudang senjata Chan Airong, Narathiwat, tiga wilayah di seberang perbatasan Malaysia menyaksikan kumpulan pemisah berjuang menentang pemerintahan Thailand yang majoriti Buddha, menduduki kawasan itu lebih seratus tahun lalu.
Putaran keganasan tanpa henti itu menyebabkan hampir 7,000 nyawa melayang, kebanyakannya orang awam.
Malah, keganasan dan konflik menyebabkan anak-anak menjadi yatim piatu ditinggalkan ibu bapa, isteri menjadi janda apabila suami masing-masing maut sama ada ditembak atau dibom.
Angka kematian dicatat menurun di tahap paling rendah tahun lalu ketika junta Thailand memperketatkan kawalan keselamatan di tiga wilayah.
Namun, pada tahun lalu, telah menyaksikan peningkatan keganasan apabila pemisah menunjukkan mereka masih berupaya menjalankan operasi selepas konflik 16 tahun.
Memperkatakan mengenai konflik di selatan Thai, tentera-tentera Thailand didakwa telah bertindak di luar batas kemanusiaan ketika memasuki wilayah-wilayah yang bergolak.
Penentangan dari kalangan penduduk tempatan dibalas dengan penangkapan tanpa bicara pemimpin ulama dan para pengikutnya.
Pihak polis pula menyerang secara senyap terhadap para imam dan guru-guru agama yang dituduh menyebarkan sentimen anti-Bangkok.
Adakah hanya kerana terjejas itu, langsung tidak boleh kita lakukan aktiviti dalam agama? Tentunya tidak
Guru-guru agama dan imam di kampung-kampung turut hilang begitu sahaja dan penduduk Islam mendakwa polis Thailand yang melakukannya.
Mereka dituduh menghina agama Islam dan menyebarkan agama Buddha dalam kalangan pelajar-pelajar Islam.
Kumpulan-kumpulan penjenayah juga dipercayai mengambil kesempatan melakukan kekacauan termasuk pembunuhan ke atas pegawai-pegawai polis yang dianggap menjadi penghalang kepada aktiviti-aktiviti haram yang mereka jalankan.
Ditanya mengenai ramalannya adakah akan damai di selatan Thailand apabila mengambil kira aspirasi kepimpinan dan dekad baharu, Ishak enggan menjadi pesimis tetapi berkata, selagi akar masalah tidak cuba diselesaikan, ia akan kekal begitu selamanya.
"Keadaan ini disamakan seperti menggaru di tempat yang tidak gatal; gatal tidak hilang, tetapi tindakan menggaru akan diteruskan,'' kata Ishak sebelum menambah keamanan sememangnya sukar dicapai jika tiada kompromi dan kesepakatan.
Perdamaian di wilayah selatan yang diusahakan Malaysia di mana bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor menjadi perantara, menemui jalan buntu apabila kedua-dua pihak - kerajaan Thailand dan kumpulan pemisah sukar mencapai beberapa persetujuan dalam beberapa siri pertemuan yang berlangsung sebelum ini.
#agamawan #bom #dakwah #imam masjid #Islam #keganasan #kerajaan #keselamatan #khutbah Jumaat #konflik #mati #maut #Narathiwat #operasi #Pattani #pemberontakan #perdamaian #polis #solat berjemaah #takut #tembak #Thailand #tiga wilayah bergolak #yala
;