Bill Gates pernah 'ramal' wabak seakan koronavirus dalam siri TV tahun lalu
Saraya Mia
Februari 5, 2020 15:36 MYT
Februari 5, 2020 15:36 MYT
WABAK koronavirus telah meragut hampir 500 nyawa setakat tengah hari ini.
Jangkitan yang berpunca dari pasar basah di Wuhan China itu telah menjangkiti lebih 20,000 orang dan sehingga kini masih belum nampak tanda-tanda akan reda.
Mungkin satu kebetulan apabila situasi yang kita hadapi sekarang ini didakwa pernah diperkatakan tahun lalu dan sedikit sebanyak menggambarkan situasi yang amat digeruni itu.
Jutawan yang juga pengasas syarikat teknologi Microsoft, Bill Gates pernah 'meramal' keadaan ini di mana satu pandemik yang bertunas dari pasar basah di China berkemungkinan membunuh jutaan manusia dalam satu dokumentari Netflix.
Pandemik seakan-akan 2019 novel koronavirus (2019-nCoV) itu diperkatakan secara jelas dalam satu episod siri "Explained" bertajuk “The Next Pandemic” yang ditayangkan tahun lalu.
Dalam siri tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft itu memberi amaran bahawa dunia masih belum bersedia untuk memerangi pandemik yang mendatang.
“Apabila satu pandemik berlaku, tidak kira kesan terhadap populasi, kita pasti menyesal apabila tidak cukup melabur (tenaga dan dana) dalam penyelidikan terhadap mengeluarkan penawar,” kata Gates dalam dokumentari tersebut.
Episod dokumentari terbitan Vox Media itu turut menjangka satu pandemik yang berkemampuan melenyapkan sebahagian besar populasi akan bermula dari negara China.
Syot yang dirakam di sebuah pasar di Lianghua, China itu menunjukkan bagaimana haiwan liar dibunuh serta dijual di situ.
Dokumentari berdurasi 20 minit itu turut menunjukkan bagaimana pembunuhan dan penjualan daging haiwan di pasar itu menyebabkan virus bercampur dan melalui mutasi sebelum menghasilkan versi baharu dan berbahaya.
Apabila dibandingkan dengan pandemik yang lalu, seperti H1N1 dan Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS), penularan bermula daripada percampuran virus antara lebih satu haiwan yang kemudiannya menjangkiti manusia.
SARS pada tahun 2002-2003 telah membunuh 774 orang dan menjangkiti 8,100 di seluruh dunia.
Koronavirus setakat ini telah membunuh 494 di China, satu kematian masing-masing di Filipina dan Hong Kong serta menjangkiti lebih 24,000 orang di 27 buah negara, jauh melebihi jumlah yang terjangkit oleh SARS.
Di Malaysia pula, seramai 12 orang rakyat terkena jangkitan koronavirus seperti diumumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.