Bilangan bayi dilahirkan di Singapura pada 2023 terendah dalam tempoh 50 tahun

Bernama
Julai 14, 2024 04:45 MYT
Analisis data urutan kelahiran penduduk menunjukkan trend yang jelas bahawa ibu kali pertama semakin menangguhkan kelahiran ke peringkat akhir kehidupan mereka.. - Foto hiasan
SINGAPURA: Bilangan bayi yang dilahirkan di Singapura pada 2023 jatuh ke paras terendah dalam tempoh sekurang-kurangnya 50 tahun lepas, lapor The Straits Times (ST).
Ia berkata berdasarkan "Laporan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 2023" yang diterbitkan pada 11 Julai, sejumlah 33,541 bayi dilahirkan pada 2023 - penurunan 5.8 peratus daripada 35,605 kelahiran yang dicatatkan pada 2022 dan 13.3 peratus lebih rendah daripada 38,672 kelahiran pada 2021.
ST berkata angka 2023 adalah yang terendah sejak sekurang-kurangnya 1971 apabila 47,088 bayi dilahirkan, berdasarkan statistik kelahiran dan kematian yang dipaparkan di laman web Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA).
ICA menguruskan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 2021 (RBDA 2021).
Pada Februari, diumumkan bahawa kadar kesuburan keseluruhan (TFR) penduduk jatuh di bawah satu buat kali pertama dalam sejarah Singapura, walaupun bilangan sebenar bayi yang dilahirkan pada 2023 tidak dinyatakan.
TFR, yang merujuk kepada purata bilangan bayi setiap wanita sepanjang tempoh reproduktif mereka, adalah 0.97 pada 2023 - antara yang terendah di dunia.
Analisis data urutan kelahiran penduduk menunjukkan trend yang jelas bahawa ibu kali pertama semakin menangguhkan kelahiran ke peringkat akhir kehidupan mereka.
Usia median ibu kali pertama meningkat daripada 30.8 tahun pada 2019 kepada 31.6 tahun pada 2023.
Menurut laporan 2023, bilangan kelahiran hidup dalam kalangan remaja berumur 19 tahun ke bawah adalah 228, menunjukkan peningkatan 4.6 peratus berbanding 218 kelahiran yang dicatatkan pada 2022.
Sementara itu, pada 2023, jumlah keseluruhan kematian berdaftar adalah 26,888, penurunan sebanyak tiga kes daripada 26,891 kematian yang didaftarkan pada 2022.
Sekitar 4.9 peratus kematian yang didaftarkan pada 2023 adalah bukan penduduk, termasuk pemegang pas kerja, pas tanggungan, pas pelajar, pelancong dan pelawat jangka pendek. Kebanyakan daripada mereka adalah rakyat Malaysia (424 kematian) dan Indonesia (196 kematian).
Punca utama kematian di republik itu pada tahun lepas adalah penyakit jantung dan hipertensi serta penyakit paru-paru dan pernafasan, yang secara kolektif menyumbang 50.8 peratus daripada semua kematian yang didaftarkan.
Selain itu, neoplasma malignan dan penyakit serebrovaskular adalah faktor utama, masing-masing menyumbang 24.6 peratus dan 5.6 peratus daripada kes kematian.
"Punca bukan semula jadi seperti kemalangan, bunuh diri dan punca luaran lain, menyumbang 2.3 peratus daripada jumlah kes," menurut laporan itu.
-- BERNAMA
#bilangan bayi dilahirkan #Singapura #Terendah #ICA
;