"Bila kapal mendarat saya muntah tanpa henti, tak boleh bangun" - Penumpang SQ321

Agensi
Mei 23, 2024 09:00 MYT
Silverstone yang dalam perjalanan ke Bali melalui Singapura memuji juruterbang SIA kerana berjaya mengemudi pesawat dengan selamat walaupun terperangkap dalam pergolakan udara yang mengejut. - Gambar REUTERS
BANGKOK: Seorang penumpang yang cedera dalam insiden gelora udara yang melibatkan penerbangan Singapore Airlines (SIA) SQ321 mengimbas kembali kejadian yang menimpanya yang disifatkan berlaku begitu pantas sekitar 10 saat.
Josh Silverstone yang juga seorang broker berusia 24 tahun dari London memberitahu media, dia mengalami cedera ringan seperti gigi patah dan sakit leher.
“Saya mengalami gigi patah dan sakit ringan di bahagian leher, bagaimanapun, sebaik kapal mendarat di Bangkok, saya tidak dapat bangun untuk keluar dari kapal, muntah tanpa henti dan mula berasa sakit,” ceritanya sebaik menerima rawatan di sebuah hospital di Bangkok, Thailand.
Selepas menerima rawatan, Silverstone dibenarkan keluar pada hari yang sama.
"Sebaik mendarat, semua penumpang terbaring di lantai dan tidak boleh bergerak, seolah-olah lumpuh sekejap," tambah Silverstone.
Di sebalik pengalaman buruk itu, Silverstone yang ketika kejadian dalam perjalanan ke Bali melalui Singapura memuji juruterbang pesawat berkenaan kerana berjaya mengemudi pesawat dengan selamat walaupun terperangkap dalam pergolakan udara yang mengejut.
"Saya takut untuk naik kapal terbang sebelum ini, kini saya berasa lebih takut. Bagaimanapun, juruterbang melakukannya dengan baik dan saya berada di sini dan ya, saya gembira," katanya.
Pesawat SIA yang membawa 211 penumpang dan 18 kru itu sedang dalam penerbangan dari London ke Singapura apabila ia mengalami gelora udara yang ekstrem di atas Lembangan Irrawaddy pada ketinggian 11,277.6 meter, kira-kira 10 jam selepas berlepas.
Juruterbang mengisytiharkan kecemasan perubatan dan melencongkan pesawat Boeing 777-300ER ke Bangkok dan mendarat pada pukul 3.45 petang waktu tempatan, pada Selasa.
Seorang penumpang maut dan ramai tercedera dalam insiden itu, sementara mangsa yang maut itu adalah seorang lelaki warga British berusia 73 tahun.
#Singapura #SQ321 #singapore airline #gelora udara
;