'Bikini climber' maut akibat cuaca sejuk selepas terjatuh
Agensi
Januari 22, 2019 09:02 MYT
Januari 22, 2019 09:02 MYT
SEORANG wanita Taiwan yang dikenali di laman sosial sebagai Bikini Climber kerana tabiat peliknya yang gemar mendaki gunung dalam pakaian renang atau bikini, ditemui mati selepas terjatuh dari ketinggian hampir 20 meter di sebuah taman negara di Taiwan.
Gigi Wu, 36, menggunakan telefon satelit untuk menghubungi seorang kenalan selepas dia terjatuh ketika mendaki Gunung Yushan, Taiwan.
Wu memaklumkan kepada rakannya, dia terperangkap dan tidak dapat bergerak kerana kecederaan pada bahagian kakinya.
Helikopter penyelamat Black Hawk mengambil masa selama 28 jam untuk membawa Wu keluar kerana keadaan cuaca yang buruk, namun wanita itu disahkan sudah meninggal dunia ketika pasukan penyelamat tiba, lapor NZ Herald.
Jurucakap pasukan penyelamat mengesahkan Wu maut akibat cuaca yang sangat sejuk di kawasan itu.
Wu yang gemarkan aktiviti lasak, mendedahkan dia menghabiskan masa 127 hari mendaki sepanjang 2018 dalam satu entri di Facebook.
Sehari sebelum Krismas, Wu turut berkongsi imej yang kesan lebam pada bahagian kakinya akibat terjatuh namun mengakui bernasib baik kerana masih hidup.