Biden ulangi ikrar bawa pulang wartawan Austin Tice yang ditahan di Syria sejak 2012

Agensi
Disember 8, 2024 07:45 MYT
Wartawan Austin Tice yang dilaporkan berada di Syria sejak 2012 diyakini oleh pentadbiran Joe Biden masih hidup.
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengulangi komitmennya untuk membawa pulang wartawan Austin Tice susulan kejatuhan rejim Bashar al-Assad.
“Kami sedia maklum terdapat sejumlah rakyat Amerika di Syria, termasuk mereka yang tinggal di sana… serta Austin Tice yang telah ditawan lebih 12 tahun lalu.
“Kami tetap komited untuk mengembalikannya kepada keluarganya,” kata Biden dalam ucapannya mengenai kejatuhan rejim Assad, pada Ahad.
Tice dilaporkan berada di Syria sejak 2012.
“Kami percaya dia masih hidup. Kami fikir kami boleh mendapatkannya semula, tetapi kami belum mempunyai bukti langsung mengenainya dan Assad harus bertanggungjawab (menahan tawanan),” kata Biden.
Apabila ditanya sama ada beliau akan meluluskan operasi untuk mendapatkan Tice, Biden berkata AS, perlu terlebih dahulu mengetahui di mana keberadaan wartawan itu.
“Kami mahu membawanya keluar. Kita kena kenal pasti di mana dia berada,” jelas Biden.
Dalam satu kenyataan kepada CNN, ibu bapa Tice Marc dan Debra Tice berkata: "Kami tidak sabar untuk melihat Austin berjalan bebas. Kami meminta sesiapa sahaja yang boleh berbuat demikian untuk membantu Austin supaya dia selamat pulang ke rumah kepada keluarganya.”
CNN sebelum ini melaporkan, pegawai AS menghubungi pasukan pembangkang Syria pada hari Khamis bertanya mengenai Tice dan berharap untuk mengetahui lebih lanjut tentang keberadaannya. - CNN
#wartawan Austin Tice #rejim Assad #tawanan Syria #Presiden Joe Bden
;