Biden, Trump setuju peralihan kuasa dilakukan secara aman
Astro Awani
November 13, 2024 07:45 MYT
November 13, 2024 07:45 MYT
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan Presiden terpilih, Donald Trump bertemu dan mengadakan perbincangan mengenai proses peralihan kuasa di White House pada Rabu.
"Tahniah dan saya berharap peralihan ini berjalan lancar seperti yang telah kita katakan - melakukan segala yang boleh untuk memastikan anda mendapat apa yang diperlukan," kata Biden kepada Trump di Pejabat Oval.
"Selamat datang, selamat kembali."
Trump, yang memenangi penggal kedua dalam perebutan ke White House pada 5 November mengucapkan terima kasih kepada Biden sambil memberitahu politik adalah hal yang "sukar."
"Dan dalam banyak hal ia bukanlah dunia yang mesra, tetapi hari ini adalah hari yang baik dan saya amat menghargainya.
“Peralihan yang begitu lancar, ia akan menjadi selancar mungkin dan saya sangat menghargainya," kata Trump yang sebelum ini pernah menerajui AS pada 2017 - 2021.
Sebaik selesai pertemuan antara Biden dan Trump, wartawan melontarkan pertanyaan, namun, kedua-dua mereka segera diiring keluar.
Wanita pertama AS, Jill Biden turut menyertai suaminya menyambut ketibaan Trump, menurut kenyataan yang dikeluarkan White House.
Jill turut menyerahkan surat ucapan tahniah bertulis tangan kepada isteri Trump, Melania, dan "menyatakan kesediaan pasukannya untuk membantu proses peralihan," kata kenyataan itu lagi.
Selepas prestasi buruk dalam Debat Presiden pada Jun lalu ketika menentang Trump, Biden menarik diri daripada meneruskan cabaran dan mengumumkan sokongan pada Naib Presiden, Kamala Harris sebagai calon Demokrat dalam Pilihan Raya Presiden AS, 5 November itu.
Parti Republikan meraih majoriti dalam pilihan raya tersebut, mengambil alih kawalan Dewan Perwakilan, Senat dan White House.
Trump memenangi pilihan raya dengan 312 undi elektoral, melepasi ambang 270 undi menentang saingan Demokratnya, Harris.
Jurucakap White House, Karine Jean-Pierre memberitahu wartawan, Biden dan Trump mengadakan pertemuan selama sekitar dua jam.
Ketua Staf Rumah Putih, Jeff Zients dan Ketua Staf yang baharu, Susie Wiles, turut menghadiri pertemuan di Pejabat Oval, jelas kenyataan itu.
"Ia merupakan pertemuan yang substantif berisi dan kedua-dua mereka saling bertukar pandangan. Mereka membincangkan isu-isu penting keselamatan negara dan dasar domestik yang dihadapi oleh negara dan dunia," kata Jean-Pierre.
Biden mengutarakan "perkara-perkara penting" dalam senarai tugas Kongres untuk sesi penutupan termasuk membiayai kerajaan dan menyediakan dana tambahan bantuan bencana yang diminta oleh Presiden, katanya.
"Kami akan menjalankan peralihan yang teratur dan peralihan kuasa secara damai," tambah Jean-Pierre.
Menjelang pertemuannya dengan Biden, Trump berkumpul dengan anggota Republikan di Capitol Hill.
"Bukankah bagus untuk menang? Kemenangan sesuatu yang baik. Ia sentiasa bagus untuk menang," kata Trump kepada Republikan.