Biden tersilap perkenal Zelenskyy sebagai Putin pada sidang kemuncak NATO

Agensi
Julai 12, 2024 08:30 MYT
Zelenskyy (kanan) mendengar ucapan Biden pada sidang kemuncak NATO yang berlangsung di Washington, Amerika Syarikat. - Gambar REUTERS
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Joe Biden tersilap memperkenalkan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy sebagai musuh Rusia, Vladimir Putin pada sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) pada Khamis iaitu kesilapan yang berlaku hanya beberapa jam sebelum sidang akhbar yang boleh menentukan nasib beliau dalam pemilihan semula.
Pemimpin berusia 81 tahun itu, bagaimanapun, dengan pantas membetulkan kesilapan itu selepas menyedarinya dan Zelenskyy pula dalam nada menyindir secara spontan menyebut “lebih baik” daripada Putin.
Kekeliruan itu sekali gus meningkatkan kebimbangan mengenai ketajaman mental Biden selepas prestasinya dalam sesi debat dengan Donald Trump minggu lalu mengundang kritikan daripada pelbagai pihak.
“Dan sekarang saya serahkan (majlis) kepada Presiden Ukraine yang mempunyai keberanian yang sama seperti mana keazamannya.., tuan-tuan dan puan-puan (dipersilakan), Presiden Putin,” kata Biden ketika beliau mengumumkan perjanjian NATO-Ukraine pada sidang kemuncak di sini.
Biden berpaling dari rostrum sebelum kembali dan berkata: "Presiden Putin! Dia (Presiden Zelenskyy) akan mengalahkan Presiden Putin. Presiden Zelenskyy, saya sangat fokus untuk mengalahkan Putin, kita perlu risau tentangnya."
Kesilapan dilakukan Presiden AS itu menyebabkan tetamu lain terkejut, namun, Zelenskyy yang menerajui Ukraine menentang pencerobohan Rusia hanya ketawa dan tidak mengambil serius hal berkenaan.
Beberapa pemimpin lain yang menghadiri sidang kemuncak itu telah memperoleh jawapan mengenai kedudukan Biden dan kesemua mereka jelas memberi sokongan kepadanya.
"Tersalah sebut berlaku dan jika anda memerhati dengan teliti, anda akan menemui banyak (kesilapan)," kata Canselor Jerman, Olaf Scholz mengulas kesilapan terbaharu Presiden AS itu.
Presiden Perancis, Emmanuel Macron pula berkata, Presiden AS kelihatan "terkawal" sementara Perdana Menteri Britain, Keir Starmer berpendapat, Biden "berada dalam keadaan baik".
Namun begitu, tindakan salah cakap terbaharu oleh Biden tidak seharusnya berlaku pada masa yang buruk iaitu ketika beliau dijangka mengadakan bertemu wartawan petang ini bagi sesi yang dianggap White House sebagai “sidang akhbar terbesar” iaitu penampilan pertama Presiden sejak perdebatan itu.
Penampilan solo Biden tanpa teks yang jarang berlaku dengan wartawan dibuat ketika gesaan semakin meningkat dalam parti Demokrat pimpinannyaa agar dia berundur daripada pencalonan dalam pilihan raya Presiden pada November depan.
Sidang media itu sepatutnya bermula pukul 6.30 petang (waktu tempatan), tetapi dijangka akan ditunda selama sejam. - Agensi
#Joe Biden #Volodymyr Zelenskyy #Joe Biden salah sebut #Presiden Amerika Syarikat
;