Biden tekankan kerjasama, komunikasi terbuka ketika bertemu Menteri Luar China

Bernama
Oktober 28, 2023 21:18 MYT
Biden ketika bertemu Wang Yi di Washington pada Jumaat. - Gambar/ X Chinese Embassy in US
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar China Wang Yi di Washington pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman dpa.
Pertemuan kedua-dua pemimpin itu diadakan ketika spekulasi Biden sedang merancang untuk mengadakan pertemuan dengan Presiden China Xi Jinping pada bulan depan
Biden menerusi perbualannya dengan Wang menekankan bahawa Amerika Syarikat dan China mesti "mengurus persaingan dengan bertanggungjawab" serta "bekerjasama untuk menangani cabaran global," menurut Rumah Putih.
Beliau turut menegaskan bahawa China dan AS mesti mengekalkan komunikasi yang terbuka.
Hubungan antara China dan Amerika Syarikat dingin sejak beberapa tahun kebelakangan ini susulan beberapa faktor, termasuk pertikaian perdagangan, isu Taiwan, perselisihan mengenai asal-usul COVID-19 dan kaedah menanganinya.
Bagaimanapun, terdapat pelbagai aktiviti diplomasi antara Washington dan Beijing sejak beberapa bulan lalu.
Pada Jumaat, Wang telah bertemu dengan Setiausaha Negara AS Antony Blinken di Washington, manakala Blinken bertemu Xi di Beijing pada Jun lalu.
Xi dan Biden kali terakhir bertemu di luar Sidang Kemuncak G20 di Indonesia kira-kira setahun lalu.
Sementara itu, laporan mengatakan Xi mungkin akan menghadiri Sidang Kemuncak Asia-Pasifik di San Francisco pada pertengahan November.
-- BERNAMA
#Joe Biden #wang yi #China #Amerika Syarikat
;