Biden tandatangani RUU dana jangka pendek elak penutupan kerajaan
Bernama
Oktober 1, 2021 11:44 MYT
Oktober 1, 2021 11:44 MYT
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Joe Biden pada Khamis menandatangani rang undang-undang (RUU) dana jangka pendek selepas mendapat kelulusan Kongres, bagi mengelak penutupan kerajaan yang dijangka bermula pada tengah malam, lapor Xinhua.
Terdahulu, Senat dan Dewan Perwakilan meluluskan RUU itu, yang membolehkan kerajaan mendapat pembiayaan sehingga 3 Dis.
Kelulusan itu mendapat undian 65-35 di Senat dan undian sebanyak 254-175 di Dewan, dengan beberapa Ahli Parlimen Republikan menyokong Demokrat.
RUU itu antara lain akan menyediakan dana kecemasan untuk membantu rakyat Amerika yang terjejas akibat bencana alam seperti Taufan Ida dan membantu penempatan semula pelarian Afghanistan.
Kelulusan oleh Kongres itu selepas berhari-hari RUU dibahaskan kerana Demokrat berniat untuk memasukkan penangguhan had hutang namun dibantah Republikan.
Ahli Parlimen Republikan berpendapat Demokrat harus menyelesaikan krisis hutangnya sendiri, kerana Kongres dan Rumah Putih di bawah kawalan mereka.
Sementara itu, Demokrat turut berdepan rintangan daripada Republikan dan ahli parti mereka sendiri dalam usaha untuk meluluskan pakej perbelanjaan bernilai US$3.5 trilion.
-- BERNAMA