Biden tandatangan buku takziah penghormatan kepada Ratu Elizabeth II
Bernama
September 9, 2022 14:52 MYT
September 9, 2022 14:52 MYT
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dan isteri Jill Biden mengunjungi Kedutaan Britain di Washington D.C untuk menandatangani buku takziah sebagai penghormatan atas kemangkatan Ratu Elizabeth II pada Khamis.
Ketibaan Biden dan isteri disambut Duta Britain Dame Karen Pierce dan suaminya kira-kira 6 petang waktu timur (2300GMT).
"Kami turut berdukacita... Baginda seorang wanita yang hebat, saya sangat gembira berpeluang bertemu dengan baginda," kata Biden. Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada kakitangan kedutaan.
Sementara itu Jill Biden berkata baginda akan sentiasa dikenang.
Ratu Elizabeth II, 96, raja paling lama berkhidmat dalam sejarah Britain. Menurut Istana Buckingham, baginda mangkat di Istana Balmoral, Scotland.
Baginda sebelum ini dilaporkan mengalami masalah kesihatan atas faktor usia dan terpaksa membatalkan beberapa acara atas nasihat doktor.
Kali terakhir Ratu Elizabeth II tampil di khalayak ramai ialah semasa sambutan Jubli Platinum pada Jun sempena ulang tahun ke-70 pemerintahan baginda.
Menurut kenyataan dikeluarkan tengah hari Khamis, Ratu Elizabeth II berada di bawah "pemantauan perubatan" di Balmoral di Aberdeenshire, Scotland.
-- BERNAMA