Biden seru Hamas setuju perjanjian gencatan senjata

Astro Awani
Mei 31, 2024 07:00 MYT
Biden menyampaikan ucapan berhubung keadaan di Asia Barat di White House, Washington, Amerika Syarikat, 31 Mei 2024. - REUTERS
PRESIDEN Amerika Syarikat Joe Biden pada Jumaat menyeru Hamas supaya bersetuju dengan tawaran baharu daripada Israel untuk pembebasan tebusan sebagai pertukaran untuk gencatan senjata Gaza.
Beliau menyifatkan ini adalah cara terbaik untuk mengakhiri konflik yang berpanjangan.
“Ini merupakan platform untuk penyelesaian politik yang menyediakan masa depan yang lebih baik untuk Israel dan Palestin.
“Kini, selepas diplomasi intensif yang dijalankan oleh pasukan saya, banyak perbincangan saya dengan pemimpin Israel, Qatar dan Mesir serta negara-negara Asia Barat yang lain, dan Israel telah menawarkan cadangan baharu yang komprehensif,” katanya.
Biden juga turut memujuk pihak kepimpinan Israel yang mahu perang berterusan untuk menyokong penjanjian damai berkenaan demi keamanan.
"Pada ketika ini, Hamas tidak lagi mampu untuk melaksanakan kejadian seperti 7 Oktober lagi.
“Ia adalah salah satu objektif utama Israel dalam perang ini.
"Saya tahu ada di antara rakyat Israel yang tidak akan bersetuju dengan rancangan ini dan akan menyeru agar perang berterusan selama-lamanya, malah ada yang berada dalam gabungan kerajaan dan mereka telah menyatakan dengan jelas bahawa mereka mahu terus berjuang selama bertahun-tahun dan tebusan bukan keutamaan mereka.
“Saya juga telah menggesa kepimpinan di Israel untuk berdiri di belakang perjanjian ini walaupun apa pun tekanan yang datang,” tegas Biden.
Cadangan dikemukakan awal tahun ini menggesa pembebasan tebusan yang sakit, cedera, serta warga emas di Gaza sebagai pertukaran untuk gencatan senjata selama enam minggu.
Mereka mendakwa tempoh itu boleh dilanjutkan bagi membolehkan lebih banyak bantuan kemanusiaan dihantar ke kawasan itu.
Bagaimanapun perjanjian yang dicadangkan itu menjadi sia-sia selepas Israel enggan bersetuju untuk menamatkan perang secara kekal sebagai sebahagian daripada rundingan.
Rejim itu sebaliknya meningkatkan serangan ke atas bandar Rafah di selatan Gaza. Antaranya, serangan udara Israel di Rafah pada Ahad lalu yang membunuh 45 rakyat Palestin
Hamas pada Khamis mengulangi pendirian kepada pengantara untuk tidak mengambil bahagian dalam lebih banyak rundingan sekiranya keganasan masih berterusan.
Bagaimanapun kumpulan itu sedia untuk "perjanjian lengkap," termasuk pertukaran tebusan dan tawanan jika rejim Israel menghentikan perang.
Rundingan yang diketengahkan oleh Mesir, Qatar dan lain-lain untuk mengatur gencatan senjata antara Israel dan Hamas dalam perang Gaza telah berulang kali terhenti, dengan kedua-dua pihak gagal mencapai persefahaman.
#gencatan senjata #Joe Biden #Israel-Palestin #Hamas
;