Biden, Putin bincang isu sensitif

Bernama
Januari 27, 2021 13:20 MYT
Joe Biden bercakap di White House, Washington, 26 Jan, 2021. (Foto AP)
WASHINGTON: Presiden Joe Biden pada Selasa mengadakan perbincangan melalui telefon dengan rakan sejawatannya dari Rusia Vladimir Putin, antara lain membincangkan beberapa isu sensitif membabitkan kedua-dua negara, lapor Agensi Anadolu.
Antaranya berkaitan laporan mengenai Moscow memberi ganjaran kepada tentera Amerika di Afghanistan yang mencetuskan kemarahan Capitol Hill terhadap Moscow, menurut kenyataan Rumah Putih.
Biden dan Vladimir Putin turut membincangkan kesediaan kedua-dua negara untuk meneruskan perjanjian pengurangan senjata strategik (START) Rusia-Amerika Syarikat (AS) selama lima tahun.
AS dan Rusia bersetuju pegawai kedua-dua negara segera menyelesaikan perkara berkaitan perjanjian itu menjelang 5 Februari.
Biden juga membangkitkan isu berhubung campur tangan dalam pilihan raya AS 2020 dan kes pengkritik Kremlin, Aleksey Navalny.
BACA: Protes Rusia: Polis guna kekerasan lerai demonstrasi
VIDEO: Politik Rusia | Alexei Navalny ditahan sehingga 15 Februari
Presiden AS itu juga memberitahu Putin, Washington akan mempertahankan kepentingannya sebagai tindak balas terhadap tindakan Moscow "yang boleh membahayakan kita atau sekutu kita."
Kedua-dua pemimpin turut sepakat untuk mengadakan rundingan lebih lanjut mengenai kawalan senjata dan isu keselamatan lain,tambah kenyataan itu.
Biden juga menegaskan sokongan AS untuk kedaulatan Ukraine.
-- BERNAMA
#isu sensitif #Joe Biden #Capitol Hill #Moscow #Vladimir Putin #Rusia #perbincangan #Amerika Syarikat #Afghanistan #senjata strategik #start #Aleksey Navalny #campur tangan #pilihan raya AS #perjanjian
;