Biden, Putera Mahkota Arab Saudi bincang diplomasi perang Palestin-Israel

Agensi
Oktober 25, 2023 09:30 MYT
Gambar fail menunjukkan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohamed bin Salman menyambut kehadiran Joe Biden ketika Presiden Amerika Syarikat itu mengadakan lawatan ke Jeddah, Arab Saudi pada 15 Julai 2022. - Gambar REUTERS
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohamed bin Salman pada Selasa mengadakan perbicangan mengenai usaha yang perlu diambil untuk mengelakkan perang antara Palestin dan Israel berpanjangan, kata White House.
Kedua-dua pemimpin berkenaan juga bersetuju meluaskan lagi usaha diplomatik “untuk mengekalkan kestabilan di sepanjang rantau berkenaan dan menghalang konflik itu daripada berpanjangan” jelas White House sambil memaklumkan Biden dan Mohamed Bin Salman akan kekal berkoordinasi secara rapat antara satu sama lain.
Dalam perkembangan sama, kedua-dua pemimpin itu juga mengalu-alukan bantuan kemanusiaan dari Mesir ke Gaza sambil menekankan “lebih banyak bantuan diperlukan oleh orang awam” khususnya akses makanan, air dan bantuan perubatan, kata White House lagi.
Tidak ketinggalan, Biden dan Mohamed Bin Salman turut mengalu-alukan usaha yang diambil untuk membebaskan tawanan oleh Hamas dan menggesa pembebasan dilakukan secepat mungkin.
Biden dan Mohamed Bin Salman juga tegas mengenai kepentingan bekerjasama dalam mencapai perdamaian antara Israel dan Palestin dalam kadar segera, sambil menambah, mereka juga akan meneruskan usaha-usaha yang telah dirintis antara Arab Saudi dan AS sejak beberapa bulan lalu.
Arab Saudi yang juga penjaga dua kota suci umat lslam - Mekah dan Madinah - merestui beberapa jiran di negara Teluk itu seperti Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain untuk mengasaskan hubungan dengan Israel pada 2020 di bawah pentadbiran Presiden Doladn Trump (AS).
Riyadh, bagaimanapun, tidak berbuat demikian kerana kepentingan Palestin menjadi keutamaan Arab Saudi.
Negara-negara Teluk termasuk Arab Saudi bimbang perang antara Palestin dan Israel itu akan berpanjangan sekali gus akan menjejaskan keselamatan negara masing-masing dan mereka memberi tekanan mengenai kepentingan gencatan senjata dilakukan di Gaza.
Sejak 7 Oktober lalu selepas diserang Hamas, tentera Israel tidak berdiam diri, sebaliknya, melancar serangan udara ke arah Gaza sehingga menyebabkan lebih 5,700 rakyat Palestin terkorban termasuk 2,300 kanak-kanak. - Reuters
#Perang Palestin-Israel #diplomasi #Presiden Joe Biden #Mohamed bin Salman
;