Biden minta penyokong pertahan demokrasi menjelang pilihan raya pertengahan penggal

Bernama
November 8, 2022 15:06 MYT
"Ingat, nasib Amerika terletak di tangan anda, tangan rakyat," kata Biden. - AP
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menyeru penyokongnya mempertahankan demokrasi negara, sehari sebelum rakyat Amerika mengundi dalam pilihan raya pertengahan penggal.
Beliau berkata demikian pada Isnin ketika menyertai perhimpunan untuk berkempen bagi calon Demokrat, gabenor Wes Moore dan Senator Chris Van Hollen di Maryland, lapor Agensi Anadolu.
"Kami sedar bahawa demokrasi kini berdepan risiko dan ini adalah masa untuk anda mempertahankannya.
"Ingat, nasib Amerika terletak di tangan anda, tangan rakyat," katanya.
Berjuta-juta rakyat Amerika di seluruh negara akan menjalankan tanggungjawab mengundi bagi pilihan raya pertengahan penggal pada Selasa.
Tahun ini, kesemua 435 kerusi Dewan Perwakilan serta 35 kerusi Senat akan dipertandingkan.
Kebanyakan penganalisis meramalkan bahawa Republikan akan menguasai Dewan Perwakilan, tetapi Senat kekal menjadi topik spekulasi utama.
-- BERNAMA
#Joe Biden #demokrasi #pilihan raya #Amerika Syarikat
;