Biden mengaku ‘buat silap’ semasa debat di CNN

Agensi
Julai 4, 2024 09:30 MYT
Joe Biden menyedari beliau "tersasar" semasa debat Presiden CNN minggu lalu, sambil mengakui "telah membuat kesilapan." - Gambar AP
PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menyedari beliau "tersasar" semasa debat Presiden CNN minggu lalu, sambil mengakui "telah membuat kesilapan."
"Saya mengalami malam yang buruk. Dan hakikatnya, saya telah melakukan kesilapan. Saya telah membuat kesilapan," kata Biden dalam wawancara dengan penyiar radio Earl Ingram yang dijadualkan disiarkan pada pagi Khamis.
Namun, ketika Presiden AS itu menghadapi persoalan mengenai masa depan politiknya, Biden menegaskan agar pengundi melihat dengan lebih jauh rekod pencapaiannya berbanding prestasi debatnya tempoh hari.
"Itu adalah 90 minit di atas pentas. Lihat apa yang telah saya lakukan dalam tiga tahun setengah," kata Biden.
Ingram, yang tampil dalam wawancara dengan Erica Hill dari CNN di "Erin Burnett Out Front" berkata, Biden tidak "menunjukkan tanda-tanda seorang yang bersedia untuk menyerah."
Dalam perkembangan sama, White House menegaskan, Presiden Biden tidak akan menarik diri walaupun mendapat tekanan daripada beberapa pemimpin Demokrat. - Agensi
#Pilihan Raya Presiden AS #debat presiden #Joe Biden #Biden buat silap
;