Biden mengadakan rundingan penting dengan Presiden Ukraine

Bernama
September 22, 2023 11:31 MYT
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy berjabat tangan dengan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden semasa kedua-dua mereka mengadakan pertemuan di Rumah Putih, Washington, Amerika Syarikat pada Khamis. - Gambar AP
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengadakan rundingan dengan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy pada Khamis di Rumah Putih ketika Kyiv mencari senjata tambahan untuk melakukan serangan balasnya terhadap Rusia, lapor Agensi Anadolu (AA).
Sebelum mesyuarat itu, Biden memberitahu pemberita bahawa rakyat Ukraine "telah menunjukkan keberanian" dalam berhadapan perang Rusia, dan AS "menunjukan komitmen rasmi kami terhadap keselamatan jangka panjang Ukraine bersama G7 dan dengan rakan kongsi yang lain."
"Kami menyokong keamanan yang adil dan berkekalan, yang menghormati kedaulatan dan integriti wilayah Ukraine," katanya.
Presiden Amerika itu dijadual mengumumkan satu lagi pakej bantuan ketenteraan negaranya untuk Ukraine yang menurut Rumah Putih merangkumi aset pertahanan udara, peluru tambahan untuk sistem peluru berpandu HIMARS yang sudah dibekalkan, senjata antiperisai, peluru artileri dan senjata lain.
Ia tidak termasuk sistem peluru berpandu permukaan-ke-permukaan jarak jauh atau ATACMS yang diminta secara terbuka oleh Ukraine, namun Biden tidak menolak membekalkannya pada masa hadapan, menurut Penasihat Keselamatan Negara, Jake Sullivan.
Zelenskyy berkata, AS dan Ukraine "adalah sekutu sebenar," dan menyuarakan penghargaan atas "bantuan penting yang diberikan oleh Amerika Syarikat kepada Ukraine dalam memerangi keganasan Rusia."
"Kami akan membincangkan segala-galanya mengenai senjata, dengan penekanan khusus kepada pertahanan udara," katanya. "Saya berada di Washington untuk mengukuhkan kedudukan Ukraine dalam mempertahankan anak-anak kami, keluarga kami, rumah kami, kebebasan dan demokrasi di dunia." - BERNAMA
#Joe Biden #Volodymyr Zelenskyy #konflik Rusia-Ukraine #Rumah Putih
;